SWM agih bantuan 80 keluarga B40 sempena Deepavali

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

GADEK 20 Oktober – Seramai 80 buah keluarga B40 dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Gadek menerima sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian sekali gus mengurangkan bebanan yang ditanggung  bagi persiapan menyambut Hari Deepavali, minggu hadapan.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, Program SWM Kasih Cahaya Deepavali itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya bagi menghidupkan semangat kebersamaan dalam komuniti dan menzahirkan keprihatinan terhadap kumpulan sasaran yang memerlukan bantuan.

“SWM Environment sentiasa komited mengadakan program berbentuk kebajikan bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang kurang bernasib baik sempena perayaanperayaan utama.

Melalui program SWM Kasih Cahaya Deepavali ini diharapkan dapat memberikan sinar kegembiraan kepada penerima dan seterusnya menjadikan sambutan Pesta Cahaya mereka tahun ini lebih bermakna,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Terdahulu program berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, VP Shanmugam dan turut mengagihkan bantuan itu kepada keluarga terlibat.

Dalam pada itu,Mohd Norlisam berkata, pihaknya turut tidak ketinggalan melaksanakan pendedahan amalan kitar semula kepada keluarga terlibat agar mampu membentuk sebuah komuniti yang lebih peka dengan pengurusan sisa pepejal dengan lebih berhemah.

“SWM Environment tidak ketinggalan menjalankan inisiatif Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) melalui sesi taklimat berkaitan kepentingan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) dan amalan 3R (kurangkan janaan sisa, guna semula, dan kitar semula) kepada semua penerima sumbangan.

“Bagi menggalakkan aktiviti kitar semula, semua penerima sumbangan turut mendaftar sebagai ahli KITARecycle iaitu program kitar semula di bawah SWM Environment yang menawarkan mata ganjaran.

“Usaha ini diharapkan dapat mendidik dan menggalakkan masyarakat agar lebih aktif melaksanakan amalan budaya kitar semula selain membentuk komuniti yang peka dengan pengurusan sisa pepejal yang berhemah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1726
Kongsi :
Previous post Lelaki maut dihempap kereta ketika curi tabung ekzos
Next post PRU15: Pengundian pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov
Ubah saiz-+=