Syawal tanpa isteri, bapa tunggal tabah demi tiga anak

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ASAHAN 10 April – Jika sebelum ini segala persediaan untuk menyambut Aidilfitri disediakan oleh isterinya namun kedatangan Syawal kali ini amat berlainan buat Muhammad Ridhwan Anthony Abdullah dan tiga anak apabila isterinya terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka.

Muhammad Ridhwan, 40, berkata, dia tidak menyangka akan diuji dengan pemergian isterinya Nor Azilah Hashim, 39, yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang ketika umat Islam sedang menanti kedatangan bulan Ramadan.

Katanya, meskipun sebelum ini keadaan isterinya itu tidak berapa sihat namun segala persediaan dan persiapan baik untuk Ramadan mahupun Syawal akan dibuat sebaiknya.

“Ramadan dan Syawal kali ini memang agak berat untuk saya. 21 hari sebelum puasa isteri pergi meninggalkan saya dan anak-anak walaupun dia sudah lama sakit tetapi tidak sangka secepat ini.

“Meskipun dalam keadaan masih bersedih saya tetap kuatkan diri untuk menjalani ibadah puasa bersama anak-anak dan cuba mempersiapkan apa yang mampu untuk hari raya.

“Walaupun agak kekok menguruskan sendiri tanpa bantuan isteri saya gagahkan juga tetapi bezanya kami tidak dapat merasai juadah yang dimasak oleh isteri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak berusia 19 bulan, lapan tahun dan 11 tahun itu ditemui ketika kunjungan dan berbuka puasa bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan ke rumahnya di Felda Bukit Senggeh, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam keadaannya dirinya diuji, dia amat bersyukur apabila keluarga mentua dan ahli keluarga lain termasuk jiran banyak membantu serta menghulurkan bantuan dalam dia menguruskan anak-anak.

“Pemergian isteri sememangnya tamparan kepada saya dan anak-anak terutama anak bongsu yang merasai ketiadaan ibunya tetapi amat bersyukur keluarga banyak membantu.

“Sekiranya saya tiada kerja, saya akan uruskan anak-anak tetapi jika terpaksa keluar bekerja kakak ipar akan tolong jaga dan tengokkan anak-anak malah ibu mentua juga selalu bertanya khabar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

126
Kongsi :
Previous post TYT, KM saksikan cerapan Hilal Syawal
Next post TYT tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim
Ubah saiz-+=