Tabung derma bantu Palestin di 26 masjid

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 26 Oktober – Sebanyak 26 masjid dalam kawasan Parlimen Tangga Batu melancarkan kutipan derma bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin susulan konflik yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kutipan derma itu boleh disalurkan menerusi tabung yang disediakan di kesemua 26 masjid dalam Parlimen itu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, pihaknya menyasarkan tempoh sebulan untuk kutipan tabung berkenaan sebelum ia dikumpul dan disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Saya percaya walaupun RM1 nilai sumbangan ia secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban rakyat Palestin yang sedang menderita akibat konflik yang berlaku.

“Oleh sebab itu kita mengambil langkah awal melancarkan tabung ini bagi membangkitkan kesedaran bukan sahaja kepada umat Islam bahkan juga kepada bukan Islam untuk bersama-sama membantu dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman di bumi Palestin.

“Saya percaya semangat rakyat Melaka dapat membantu saudara kita di sana. Tidak kira sedikit atau banyak sumbangan itu, ia menunjukkan bahawa kita juga bersama-sama mereka dalam perjuangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Malam Cinta Rasul Tangga Batu Berselawat dan Doa Munajat Palestin di Masjid Cina, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi@Mohd Hasim; Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan beberapa pendakwah antarabangsa.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, pihaknya juga berhasrat mencadangkan tabung kutipan derma itu diperluaskan ke seluruh masjid dalam Negeri Melaka.

“Saya yakin Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah ada perancangan ke arah ini kerana saya melihat adalah lebih baik jika ia turut diselaraskan bagi peringkat negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post Perluas Kem Anak Malaysia ke IPT
Next post Himpunan Pembela Palestin di Melaka Ahad ini sasar 10,000 peserta
Ubah saiz-+=