Tak sempat berlumba, polis sita 26 kereta, tahan pemandu

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 10 Jan- Hasrat 26 pemandu untuk beraksi dalam kegiatan lumba haram tidak kesampaian apabila semuanya ditahan manakala kereta yang diubah suai disita dalam Ops Samseng Jalanan di negeri ini, kelmarin.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bermula 10.30 malam menahan semua pemandu berusia antara 20 hingga 28 tahun di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah .

Turut disita, 16 buah kereta jenis PROTON Satria dan 10 kereta jenis Honda yang enjinnya diubah suai dipercayai untuk kegiatan lumba haram.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua pemandu itu ditahan di tiga lokasi berlainan membabitkan Klebang dan Sungai Putat di Melaka Tengah serta Bulatan Gangsa, Alor Gajah.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua pemandu yang ditahan itu berasal dari luar Melaka dan menjadikan negeri ini sebagai lokasi lumba haram.

“Antara kesalahan yang dikesan melibatkan pelbagai pengubahsuaian enjin dan ekzos selain cermin gelap serta tiada cukai jalanan.

“Mereka ini semua masuk ke Melaka kerana mahu menjadikan negeri ini sebagai litar lumba kenderaan secara haram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, hari ini.

ABDUL Majid (dua dari kanan) bersama Mohd Firdaus (kanan) dan Rosli (kiri) serta Ketua JSP negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya (dua dari kiri).

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Firdaus Shariff dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Osman.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata dalam operasi itu, pihaknya mengeluarkan 30 saman dengan nilai RM11,300 ke atas pemilik kereta terbabit manakala semua kenderaan itu disita untuk tindakan selanjutnya.

“Saman dikeluarkan pihak polis di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Alam Sekitar.

“Kesemua kereta yang disita itu akan menjalani pemeriksaan sepenuhnya oleh JPJ dan JAS,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1211
Kongsi :
Previous post Banjir tidak jejaskan industri pelancongan
Next post Penjawat awam Melaka sahut amanat Ketua Menteri
Ubah saiz-+=