Banjir tidak jejaskan industri pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 9 Jan – “Tidak perlu panik untuk datang melancong ke Melaka,” itu kata Exco Pelancongan Datuk Muhammad Jailani Khamis susulan ramai pelancong membatalkan tempahan hotel akibat bimbang dengan keadaan banjir di Melaka.

Muhammad Jailani berkata, meskipun negeri ini dilanda banjir sehingga lebih 2, 400 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) namun perkara itu tidak membabitkan kawasan pelancongan utama serta sektor pelancongan juga tidak terjejas.

Beliau berkata, ketika Melaka mengalami banjir produk pelancongan terjejas hanya Melaka River Cruises yang terpaksa dihentikan operasi sementara kerana paras air Sungai Melaka di paras bahaya demi keselamatan penumpang.

“Kadar tempahan hotel sebenarnya penuh pada Januari tetapi terdapat ratusan pembatalan kerana orang fikir terbabit dengan banjir. Memang kita teruk seminggu dua tetapi di Melaka 99 peratus kawasan hotel saya boleh katakan tidak kena banjir.

“Jadi tidak payah hendak membuat pembatalan kerana selain banjir sudah tiada, kawasan berlaku banjir juga adalah di kawasan desa bukan urban area,” katanya yang ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Ketua Menteri Melaka, di Seri Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelbagai tawaran dan aktiviti pelancongan ditawarkan kerajaan negeri menjelang sambutan Tahun Baru Cina dan ramadan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

“Kali ini kita ada pengisian yang berbeza selain sedang merencanakan beberapa produk baharu dan melakukan penambahbaikan kepada produk sedia ada dengan mengetengahkan nafas baharu.

“Dengan pelancaran Melaka Calendar of Events 2022 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri tadi akan merancakkan lagi sektor pelancongan kerana kita sudah rencanakan semua aktiviti mengikut bulan seperti sasaran 100 hari yang kita janjikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post RMK12: KDN lulus 21 projek bernilai RM558.7 juta – Hamzah
Next post Tak sempat berlumba, polis sita 26 kereta, tahan pemandu
Ubah saiz-+=