PRN MELAKA: BN ADAKAN DUA RUNDINGAN BERASINGAN MINGGU DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 26 September – Barisan Nasional (BN) akan mengadakan dua pertemuan berasingan minggu depan bagi membincangkan kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusinya, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pertemuan berkenaan akan membabitkan dua kumpulan berbeza dan diadakan pada tarikh serta waktu yang berlainan.

“Minggu depan, ibu pejabat telah mengaturkan dua perjumpaan yang berasingan, di tarikh dan waktu yang berbeza membabitkan dua kumpulan yang berlainan.

“Identiti parti itu tidak perlu didedahkan kerana apa yang lebih penting adalah perbincangan itu diadakan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman serta kenamaan lain.

Mengulas kemungkinan gabungan yang paling hampir untuk bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diperhalusi dengan mengambil kira manfaat dan kemudaratan kepada parti serta negara.

“Tentunya kita sebagai sebuah gabungan politik atas nama Barisan Nasional, kita mahu melihat dari sudut jangka sederhana dan panjang terutama berkait dengan manfaat kepada negara dan rakyat, selain gabungan parti kita yang ada,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan BN hanya akan mengadakan rundingan bersama PAS berikutan isu membabitkan Perikatan Nasional (PN) dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Ahmad Zahid menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan PN untuk menentukan bentuk rundingan.

“Saya serahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung dan Pengerusi PN untuk menentukan,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini BN lebih selesa sekiranya rundingan kerjasama dibuat dengan parti yang mempunyai keselesaan serta keserasian berbanding gabungan yang telah ‘terburai’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post MELAKA KOMITED SOKONG HARI CUCI MALAYSIA