
MELAKA KOMITED SOKONG HARI CUCI MALAYSIA
JASIN 26 September -Melaka komited menyokong pelaksanaan Hari Cuci Malaysia 2026 menerusi penglibatan kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan dan agensi berkaitan serta komuniti setempat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memuji komitmen PBT, jabatan, agensi dan Komuniti dalam membudayakan amalan menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.
“Sejak diperkenalkan pada 2024, program ini telah berkembang menjadi gerakan kebersihan peringkat nasional dan lebih membanggakan penyertaan komuniti semakin meningkat.
“Justeru itu, Melaka turut komited menyokong agenda ini melalui penglibatan empat PBT, jabatan dan agensi berkaitan termasuk komuniti setempat.
“Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan bukan sekadar menyertai aktiviti gotong-royong tetapi merupakan manifestasi komitmen kita untuk memastikan Melaka terus bersih, indah, selesa dan sejahtera,” katanya .
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Hari Cuci Malaysia 2026 Dan Gotong-Royong Mega Perangai Aedes Bil.2/2026 Peringkat Negeri Melaka, di Taman Rekreasi, Taman Maju, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Mahathir Mustafa; barisan Yang Dipertua Majlis Perbandaran serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, pada tahun ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan penyertaan seramai 200,000 peserta di seluruh negara termasuk 10,000 penyertaan daripada sekolah-sekolah.
“Pada 2024, seramai 58,007 peserta telah mengambil bahagian, manakala tahun lalu jumlah tersebut meningkat kepada 100,817 peserta,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

