Tak tahan dimaki, pekerja ladang tukul kepala majikan sampai mati

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SUNGAI UDANG 1 Januari – Gara-gara tidak tahan dimaki dan kerap dimarahi, seorang pekerja ladang kelapa sawit bertindak memukul kepala majikannya menggunakan tukul besi sehingga mati.

Kejadian berlaku di Rumah Kebun, Ladang Kelapa Sawit, Lorong Sidang Hj. Hamid, Paya Rumput Jaya, di sini, 22 Disember lalu, membabitkan mangsa, seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat seorang lelaki di dalam sebuah rumah kebun dipercayai dibunuh pada jam 1.20 pagi, 27 Disember lalu, sebelum menjalankan siasatan lanjut bagi memburu suspek.

Kata beliau, pihak polis mengambil masa tidak sampai 48 jam untuk mengesan suspek, sebelum lelaki warganegara Indonesia itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mengaku berada di kebun pada jam 12.30 tengah hari 22 Disember lalu yang mana mangsa didakwa telah memarahi dan memaki suspek dengan bahasa kasar menyebabkan suspek hilang sabar lalu menukul kepala si mati dari belakang.

“Apabila mangsa terbaring di depan pintu bilik, suspek telah mengheretnya masuk ke bilik lalu mengambil barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit, dompet dan kunci kereta sebelum mengunci pintu bilik menggunakan mangga.

“Suspek kemudiannya telah memandu kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik mangsa dan telah pergi ke kedai telefon di Bukit Rambai untuk menjual telefon bimbit mangsa sebelum memandu kereta menuju ke Rembau, Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Christopher, ketika di Rembau, kereta Ford Ranger dilarikan itu dipercayai kehabisan minyak dan ditinggalkan di hadapan deretan kedai, lalu menghubungi perkhidmatan e-hailing untuk ke Stesen Bas Tampin.

Ujarnya, suspek kemudian telah menaiki bas menuju ke Klang dan bersembunyi di asrama rakannya yang juga warga Indonesia.

“Hasil serbuan pada 30 Disember, pihak polis berjaya menahan suspek di bilik hadapan asrama berkenaan.

“Antara yang dirampas ialah sebuah telefon bimbit jenis Oppo F7, tukul besi yang dipercayai digunakan suspek, sebuah kereta Ford Ranger, kunci kereta, dompet berwarna hitam yang mengandungi kad ATM dan kad pengenalan mangsa, serta pakaian yang digunakan ketika kejadian.

“Suspek direman tujuh hari sehingga 6 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1326
Kongsi :
Previous post Hampir 600,000 kemalangan dilaporkan sepanjang 2023
Next post Hamdan ditidurkan, Senario mohon doa peminat
Ubah saiz-+=