
TAMAN LAUT IKON PEMULIHARAAN BIODIVERSITI MARIN, DESTINASI PELANCONGAN LESTARI
AYER KEROH 29 Julai – Jabatan Perikanan Negeri Melaka menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh pengurusan dan kemudahan di Taman Laut Negeri Melaka sebagai usaha menjadikan kawasan itu sebagai ikon pemuliharaan biodiversiti marin serta destinasi pelancongan lestari perairan barat Semenanjung Malaysia.
Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib dalam satu kenyataan berkata taman laut itu meliputi kawasan sekitar Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol yang telah diwartakan secara rasmi sebagai Taman Laut Negara pada 4 April 2023 di bawah Seksyen 41, Akta Perikanan 1985 (Akta 317) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Katanya, pewartaan tersebut membabitkan kawasan seluas satu batu nautika dari pesisir setiap pulau yang dikenali sebagai habitat pelbagai spesis batu karang dan kaya dengan nilai ekologi serta kepelbagaian hidupan marin.
“Taman Laut Negari Melaka bukan sahaja menyumbang kepada konservasi biodiversiti marin tetapi juga memperkasa pembangunan ekonomi tempatan menerusi pelancongan yang terkawal.
“Jabatan Perikanan Negeri Melaka akan terus memastikan kemudahan awam dan keselamatan pengunjung ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Saufi Affandi berkata kerja-kerja pengalihan dan penyusunan semula struktur pontoon lama di Pulau Nangka sedang giat dijalankan.
Jelasnya, usaha itu bagi membuka ruang kepada pembangunan kemudahan baharu yang lebih mesra alam dan selaras dengan keperluan ekopelancongan moden.
“Jumlah kehadiran pelawat pada tahun lalu seramai 3,483 orang menunjukkan perkembangan positif berbanding pada tahun 2023 dengan seramai 1,549 orang sahaja.
“Segala aktiviti pelancongan seperti snorkeling, selaman skuba dan riadah pantai dijalankan secara terkawal dan pelawat hanya dibenarkan melalui bot berdaftar bagi menjamin keselamatan serta pemuliharaan sumber marin.
“Inisiatif strategik secara berfasa akan terus dilaksanakan bersama agensi berkaitan dan komuniti bagi memastikan Taman Laut Negeri Melaka kekal sebagai destinasi selamat, lestari dan bernilai tinggi kepada negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.