Tambahan 40 anggota di kawasan PKPB di Klang

Masa Membaca:59 Saat

SUNGAI UDANG 9 Okt. – Tentera Darat Malaysia (TDM) menambah seramai 40 anggota bagi membantu tugasan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang, Selangor bagi tujuan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah anggota yang terlibat dalam Op Penawar bersama-sama agensi lain adalah seramai 1,140 orang di seluruh negara.

“Secara keseluruhannya, kesiapsiagaan mereka setakat ini adalah seramai 1,100 anggota di seluruh negara.

“Bagaimanapun, dalam keadaan terbaharu membabitkan kawasan tertentu yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Klang, kita tambah lagi 40 anggota untuk membuat tugasan SJR dan rondaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan di Kem Terendak, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan TDM menambah kira-kira 160 anggota bermula 25 September lalu bagi membantu penugasan Op Penawar di Sabah termasuk di kawasan yang telah disytihar sebagai kawasan kuarantin susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, pertambahan itu susulan peningkatan penularan Covid-19 di Sabah dan kewujudan kluster-kluster baharu sehingga pasukan itu diarahkan untuk membantu di Sabah bagi memperketatkan semula kawalan pergerakan.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post Panglima Tentera Darat dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat
Next post Ismail Sabri dahului senarai penerima darjah kebesaran Melaka, hari ini
Ubah saiz-+=