Ismail Sabri dahului senarai penerima darjah kebesaran Melaka, hari ini

Masa Membaca:2 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang Ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Seri Negeri, hari ini.

Ismail Sabri menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dalam kenyataannya hari ini berkata, turut menerima darjah kebesaran sama adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Firuz Jafril dan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Mohamed Farid Abu Hasan.

“Bagaimanapun Ismail dan Noraini tidak dapat menghadirkan diri kerana sedang menjalani kuarantin kendiri,” katanya dalam kenyataan itu.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Datuk Sazali Muhd Din (kanan). Foto Facebook

Beberapa tokoh turut disenaraikan untuk menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Mereka adalah Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Sazali Muhd Din; Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim. Foto arkib MHI

Antara penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi M Ravi; EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri Rahmad Mariman dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman. Foto arkib MHI

Turut sama adalah Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ismail Ali; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Abd Kadir Md Idris dan Pesuruhjaya PAS Melaka merangkap Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Kamarudin Sidek.

Sementara itu senarai penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, termasuklah Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis; Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Norhayati Rusli; Ketua Jabatan Pengurusan PDRM, Senior Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Shadan Othman.

Istiadat penganugerahan berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini membabitkan empat sesi iaitu hari ini dan Ahad ini manakala sesi ketiga dan keempat pada 30 Oktober dan 1 November depan.

Sebelum istiadat hari ini, Yang di-Pertua Negeri akan berkenan menerima tabik hormat, memeriksa perbarisan dan kawalan kehormatan anggota Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Mahkota Johor yang diketuai Mejar Mohd Zainul Ariffin Zainal Abidin.

Istiadat akan diiringi oleh Pancaragam Iringan dari Batalion Ke-2 Kor Armor Diraja.

Sebanyak 17 das tembakan meriam akan dilepaskan dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buloh yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri bin Che Wil.

Di samping istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri, kerajaan negeri turut mengaturkan beberapa program lain seperti majlis bacaan Yasin dan doa kesyukuran, khutbah khas, majlis makan malam negeri, kuliah Dhuha dan Sambutan Maulidur Rasul pada 20 Oktober ini di Auditorium Masjid Al-Azim.

Views:

2081
Kongsi :
Previous post Tambahan 40 anggota di kawasan PKPB di Klang
Next post Istiadat Kawalan Kehormatan Utama pembuka tirai upacara rasmi
Ubah saiz-+=