Tampil santuni golongan kurang berkemampuan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TELOK MAS 13 April – Kerajaan Negeri menyeru agar lebih banyak syarikat korporat atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menyantuni golongan kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, dengan keprihatinan pelbagai pihak ia secara tidak langsung dapat membantu meraikan mereka yang memerlukan termasuk dengan pemberian zakat.

“Untuk hari ini TM (Telekom Malaysia) tampil menjalinkan kerjasama bersama pihak Japerun Telok Mas dalam mengagihkan zakat kepada 80 asnaf di kawasan ini.

“Justeru itu, saya harap akan ada banyak lagi agensi dan badan seperti TM ini mengadakan program kemasyarakatan sebegini,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bulan Ramadan Telekom Malaysia Bersama Japerun, di Surau Selekoh Padang Temu, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar TM Melaka Datuk Rozlan Mohamed.

Menurut Razak, selain penyampaian zakat turut diadakan pengagihan bubur lambuk sebanyak 600 bekas kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.

Sementara itu, Rozlan berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas adalah lokasi keempat jelajah pihaknya bagi pengagihan zakat kepada asnaf pada Ramadan tahun ini.

“Untuk kali ini kita akan ke tujuh DUN untuk menyampaikan zakat. Telok Mas adalah lokasi keempat dan DUN terakhir yang kita akan pergi adalah Duyong pada Isnin ini.

“Pengagihan zakat ini adalah daripada wakalah yang diterima TM berjumlah RM116,000 dan kemudiannya diagihkan kepada setiap DUN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1310
Kongsi :
Previous post Bayaran kenaikan elaun guru KAFA diberi secara tunggakan – Jakim
Next post JAKIM sangkal laporan cerapa 1 Syawal 1443H tidak sah
Ubah saiz-+=