Sorting by

×

Tanah terbiar diberi kepada usahawan muda usahakan nenas

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

RIM 8 Ogos – Anak muda di negeri ini disaran untuk mengusahakan tanah terbiar sama ada milik kerajaan mahupun milik persendirian dengan penanaman nenas secara meluas.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata berdasarkan statistik Lembaga Perindustrian Malaysia (MPIB), sebanyak 300 ekar atau 12.6 hektar tanah di negeri ini dibangunkan dengan penanaman nenas.

Katanya, beliau sendiri mengadakan perbincangan bersama Pegawai Daerah Jasin dan MPIB supaya menggalakkan golongan muda untuk melibatkan diri dalam perusahaan tanaman nenas.

“Kalau ada anak muda yang mahu menjadi usahawan tani dengan bersungguh, mana-mana tanah terbiar atau tanah lapang milik kerajaan negeri atau milik persendirian, eloklah diberi kepada anak muda ini.

“Saya cabar kepada anak-anak muda di Jasin mahupun di Chin Chin, dialukan menceburi industri ini kerana ia berpotensi untuk menghasilkan pendapatan yang cukup tinggi jika diusahakan secara serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Wira Ghazale Muhammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Melaka Datuk Roslan Ahmad.

Terdahulu, beliau dalam lawatan kerjanya turut mengunjungi ladang nenas milik petani muda, Mohd Sharifuddin Murad berusia 23 tahun yang diusahakan di tanah keluasan empat ekar di Kampung Chin Chin, di sini.

Sulaiman berkata, Melaka menjadi negeri ke-11 pengeluar buah nenas dan penghasilannya perlu dipertingkatkan.

“Saya sarankan bagi mereka yang berminat boleh dapatkan khidmat nasihat dari segi teknikal penanaman nenas dari MPIB,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, penanaman nenas diperluaskan serta cabaran untuk mengusahakan tanaman itu perlu disahut belia di negeri ini.

Beliau dalam masa sama, mencadangkan agar nenas jenis MD 2 dijenamakan semula menjadi nenas Chin Chin.

Views:

538
Kongsi :
Previous post Jualan pasar tani bantu rakyat
Next post Masyarakat perlu amalkan kawalan kendiri
Ubah saiz-+=