Sorting by

×

TANAM NAWAITU TAMAT PENGAJIAN DENGAN CEMERLANG

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LINGGI 23 Ogos – Anak Melaka melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di universiti di Timur Tengah menerusi tajaan Kerajaan Negeri diingatkan supaya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pelajar juga perlu meletakkan sasaran menamatkan pengajian mengikut tempoh masa ditetapkan dengan keputusan mumtaz.

Selain itu, Rahmad juga mengingatkan pelajar supaya tidak terlibat dengan perkara-perkara atau aktiviti bukan akademik yang dikhuatiri akan menjejaskan tumpuan mereka kepada pelajaran.

“Kita tidak mahu ada yang gagal dan terpaksa mengulang semula, malah ada antara mereka ini yang sudah mengulang melebihi tiga kali, jika berlaku pelajar berkenaan perlu menanggung implikasi yang tidak bagus.

“Antaranya adalah tidak ada tagi tajaan pengajian daripada kerajaan, terpaksa bergantung kepada keluarga atau ibu bapa. Keadaan ini bukan sesuatu yang baik kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Persediaan Pelajar Timur Tengah (KPTT) Negeri Melaka Bagi Tahun 2025 di Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Canselor UNIMEL Prof Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly, Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM, berkata sehubungan itu Kerajaan Negeri sudah meneliti isu-isu berkenaan dan usaha sudah dijalankan untuk memastikan pelajar akan dihantar ke Mesir, Jordan dan Morocco memberikan persepsi baharu terhadap kualiti calon yang dipilih.

“Bagi melahirkan pelajar berkualiti, segenap aspek sudah diperhalusi bermula dengan permohonan pengajian, pembiayaan pengurusan persediaan, penghantaran sehinggalah kepada pemantauan pencapaian prestasi akademik yang diprogramkan secara intervensi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post EKSEKUTIF JUALAN, JURURAWAT MAUT DALAM PERJALANAN SERTAI HIMPUNAN RXZ
Next post PPSPM ‘ALL OUT’ MERIAHKAN WTD2025