Tangan emas Baser, hasilkan replika rumah tanpa lakaran

Masa Membaca:3 Minit, 49 Saat

BANDAR MELAKA 7 November – Siapa sangka sentuhan seni halus mengubah kepingan kayu menjadi replika rumah mini menjadi sumber rezeki buat penduduk generasi ketiga Kampung Morten.

Baser Ali, 59, berkata, walaupun pada asalnya dia tidak begitu meminati seni pembuatan arca dan replika, namun berkat tunjuk ajar dan semangat yang diberikan arwah abangnya, dia mencuba nasib dan sama sekali tidak menyangka karya seninya mendapat perhatian umum.

Mana tidaknya, daripada sekadar suka-suka, kini replika rumah tradisional mini yang dihasilkannya sentiap habis terjual bak ‘pisang goreng panas’.

ANUGERAH SEJAK LAHIR

Menurut Baser, sebelum ini dia bekerja sebagai jurukimpal sehinggalah beralih bidang pembuatan replika pada usia 46 tahun hasil perkongsian ilmu daripada arwah abangnya.

Tangan yang dimilikinya dianggap satu anugerah sejak dari lahir kerana dia dia dikatakan bukan sahaja cepat belajar, bahkan mampu membuat replika tanpa lakaran kertas.

Kurniaan tidak ternilai itu digunakan sebaik mungkin oleh Baser dalam menghasilkan rumah-rumah tradisional seluruh Malaysia sejak 12 tahun lalu.

“Saya lahir sahaja memang berseni, itu ungkapan ibu saya dahulu. Arwah abang saya dahulu pembuat kraf, bukan membuat replika, arwah yang mengajar saya untuk membuat rumah-rumah replika.

“Kata arwah, saya berseni, dan sehingga hari ini saya mencari makan dengan menjual hasil seni saya ini dan anak lelaki saya yang membantu untuk menjualnya menggunakan pelbagai platform seiring teknologi terkini seperti Facebook dan pelbagai lagi.

“Sejak 2010, sehingga kini lebih 3,000 replika rumah telah dihasilkan dan kebanyakan adalah rumah-rumah tradisional seperti Rumah Melaka, Rumah Perak, Rumah Johor dan kebanyakan pelancong sukakan Rumah Iban (Sarawak),” katanya.

2
REPLIKA rumah tradisional Perak persis reka bentuk asal. Foto: MR. AZLI

IMAGINASI SENI

Tambah Baser, setiap replika rumah-rumah yang dihasilkannya hanya menggunakan imaginasi dan setiap rumah memerlukan sehingga tiga minggu untuk disiapkan.

“Semua rumah yang saya hasilkan, saya teliti dalam penghasilan rumah itu, ia termasuk tiang yang lengkap, tangga yang sempurna, papan pemanis, ukiran yang terperinci pada tingkap dan atap seperti rumah asal.

“Semua rumah yang saya hasilkan itu juga, memang wujud, saya perlu melihat rumah asal untuk hasilkan replika, seperti rumah negeri-negeri lain, saya akan cari di internet, atau pelanggan hantar gambar untuk rujukan,” ujarnya.

Menurutnya, antara karya agung yang pernah dihasilkan ialah replika Istana Melaka dengan 120 tiang mini yang halus dan kecil.

HARGA SENI ‘MAHAL’

Menurut Baser, secara kebiasaan replika-replika rumah yang dihasilkan bersaiz 1 kaki tinggi, 1 kaki lebar, dan 16 inci panjang.

Ujarnya, jika hendak menghasilkan saiz yang lebih kecil dari ukuran biasa akan ‘mencacatkan’ seni pada ukiran halus ‘kerisi’ replika rumah.

“Lagi kecil replika rumah itu, lagi mahal harganya, kerana rumit dalam penghasilan.

“Saya mementingkan kualiti, ukuran standard itu sahaja saya akan buat, kecil lagi daripada itu saya tidak dapat laksanakan, lebih-lebih lagi jika rumah itu adalah rumah tradisional yang memerlukan ukiran pada kayu pemanis rumah dan kerisi,” jelasnya.

3
PEMBUATAN kraf replika memerlukan ketelitian dan kebiasaannya mengambil masa sehingga tiga minggu untuk disiapkan. Foto: MR. AZLI

Jelas Baser, dia gemar menggunakan kayu-kayu yang tidak berbulu seperti kayu Seraya Merah, Mendamar dan Cengal untuk menghasilkan replika rumah mini tersebut.

Kayu-kayu tersebut, katanya, merupakan kayu biasa yang digunakan untuk membuat perabot kerana ia mudah diolah.

“Kayu-kayu ini mudah digunakan dalam mengubah suai papan manis atau bahasa lain papan pele, papan gendeng, papan gigi jawa dengan ukiran kerawang dalam memaniskan pandangan mata di setiap rumah-rumah replika tradisional.

“Setiap kesenian yang dihasilkan ini boleh dicantum dan dibuka untuk melihat hasil dalaman (mengikut kehendak pelanggan, ada pelanggan inginkan hiasan dalaman rumah),” katanya.

Tambahnya, selain kayu, dia turut menggunakan jerami, papan lapis dan kertas hologram untuk melengkapkan karya seni yang dihasilkannya.

Disebabkan kerja-kerja yang agak rumit, selain dia hanya bekerja seorang diri, rumah-rumah mini yang dihasilkannya dijual pada harga bermula RM 1,200.

4
REPLIKA rumah tradisional Melaka dalam pembikinan. Foto: MR. AZLI

PELAPIS ‘MENDATANG’

Menurut Baser, jauh disudut hatinya berharap anaknya akan mewarisi seni tersebut dan mengikut jejak langkahnya suatu hari nanti, walaupun ketika ini anaknya dilihat lebih cenderung ke arah bidang lain.

Bagaimanapun, Baser tidak menolak untuk berkongsi ilmu sekiranya ada anak muda di luar sana yang berminat untuk menjadi pelapis pembuat kraf replika mini.

“Kerja seni yang saya lakukan ini adalah rezeki saya ‘cari makan’, saya tidak menolak jika ada yang ingin berguru dengan saya, tetapi saya akan mengenakan bayaran setimpal dengan ilmu yang saya akan curah.

“Semoga kerja-kerja seni ini dapat digunakan untuk menjaga adat, warisan dan budaya yang kita jaga selama ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4452
Kongsi :
Previous post Lebih 10,000 masyarakat Jawa berkampung di Melaka – Rahmad
Next post UTeM perlu terus jadi pusat rujukan – Tun Mohd Ali
Ubah saiz-+=