
TAPEM RAIKAN 213 PELAJAR CEMERLANG MELAKA
AYER KEROH 21 Ogos – Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) menghadiahkan insentif keseluruhan berjumlah RM90,200 kepada 213 pelajar cemerlang akademik.
Insentif disampaikan kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Bijak Sejarah STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta pelajar Huffaz Tahun 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, insentif sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri itu diberikan kepada semua pelajar cemerlang berdasarkan kepada tahap kecemerlangan dicapai.
“Dua pelajar cemerlang STPM peringkat kebangsaan menerima wang tunai daripada TAPEM sebanyak RM1,600 seorang; seorang pelajar cemerlang STPM Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) menerima RM1,000; 36 pelajar cemerlang STPM menerima RM600 dan 42 pelajar Bijak Sejarah STPM menerima RM200.
“Manakala bagi STAM kategori Mumtaz Sufi, seorang pelajar menerima RM1,000 dan dua pelajar kategori Mumtaz pula menerima RM600, 134 pelajar Huffaz berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran menerima RM400,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM, STAM dan Pelajar Huffaz Tahun 2024 dan Majlis Pelancaran Bijak STPM 2025 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bersama timbalannya Datuk Rosli Abdullah, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba serta Pengarah Pelajaran Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.