Tarik pelancong luar ke Masjid Tanah

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

LENDU 13 November – Kemudahan fasiliti di beberapa lokasi tumpuan pelancongan khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi perlu dinaik taraf dan diberikan nafas baharu.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, perkara itu amat perlu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di daerah ini.

Katanya antara lokasi dikenal pasti adalah di Kampung Tanjung Dahan yang memiliki pantai cantik dan amat sesuai bagi aktiviti riadah seperti ‘glamping’.

“Jika diberikan wajah baharu dan kemudahan asas seperti jalan dinaik taraf pasti akan menarik lebih ramai kunjungan orang luar khusus mereka yang mahu mencuba tapak perkhemahan baharu.

“Penduduk tempatan juga secara tidak langsung mendapat manfaat kerana mereka turut bersama-sama terbabit menyokong menjayakan aktiviti pelancongan yang diwujudkan.

“Peluang pekerjaan yang juga bakal diwujudkan, selain itu penyedia perkhidmatan dan pengusaha restoran juga mendapat faedah daripada idea ini,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Abdul Hakim berkata, banyak lagi lokasi menarik sekitar Masjid Tanah boleh diperkenalkan, sekali gus mempelbagaikan produk pelancongan di Negeri Melaka.

Menurutnya, pantai sekitar DUN Kuala Linggi dan Tanjung Bidara juga amat meriah dengan penganjuran beberapa siri pertandingan memancing menawarkan hadiah lumayan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“Saya lihat tarikan itu sudah ada, jika kita tingkatkan lagi kemudahan dan tawarkan destinasi persinggahan menarik yang baharu pasti dua DUN ini akan lebih dikenali lagi dalam kalangan pelancong luar.

“Usaha ini akan saya beri perhatian jika diberikan mandat pada 19 November nanti. Limpahan ekonomi nanti amat memberikan faedah kepada orang Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2940
Kongsi :
Previous post Muzik asli perlu diketengahkan kepada golongan remaja – JKKN
Next post Sudah santuni 85 peratus pengundi Masjid Tanah
Ubah saiz-+=