Sudah santuni 85 peratus pengundi Masjid Tanah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

LENDU 13 November – Selepas seminggu berkempen calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid sudah menyantuni 85 peratus daripada keseluruhan pengundi pelbagai peringkat usia khususnya orang muda.

Katanya, sepanjang turun padang berkempen beliau turut mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai kehendak dan permasalahan dihadapi mereka.

Abdul Hakim berkata, maklum balas itu penting sebagai panduan untuk melakukan perancangan dalam pembangunan setempat jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Jelasnya antara yang disuarakan rakyat adalah permasalahan seperti banjir dan kemudahan infrastruktur yang perlu ditingkatkan lagi.

Katanya, pandangan disuarakan orang Masjid Tanah itu mempunyai asas kerana kemudahan infrastruktur antara faktor utama dalam usaha mengembangkan lagi ekonomi sesebuah kawasan.

“Mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi agar boleh menjana pendapatan juga antara yang disuarakan orang Masjid Tanah. Ini adalah selaras dengan fokus saya untuk memperkasakan ekonomi penduduk termasuk di pinggir bandar dan kawasan kampung.

“Berikutan itu sektor yang boleh menjayakan usaha ini seperti pelancongan akan diberikan perhatian, selain itu sokongan seperti latihan menerusi kursus jangka pendek dan bimbingan daripada agensi berkaitan perlu disediakan.

“Biarlah mereka yang mahu aktif dalam bidang keusahawanan memiliki ilmu dan tahu hala tuju masing-masing,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu menyentuh permasalahan banjir, Abdul Hakim berkata, perkara itu juga akan diberikan perhatian dan ditangani menerusi kerjasama dengan agensi terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4309
Kongsi :
Previous post Tarik pelancong luar ke Masjid Tanah
Next post Shahril cungkil potensi Asahan untuk dibangunkan
Ubah saiz-+=