Teks penuh titah Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan
بسم الله الر حمن الر حيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام
على اشرف الانبياء والمرسلين
وعلى اله وصحبه اجمعين
رب اشرح لي صدرى ويسرلي امري
والحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah.
Beta dan Raja Permaisuri Agong merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana dengan limpah keizinanNya, kita semua dapat menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi beta bagi tahun 2022.
Beta dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan penghargaan dan terima kasih di atas ucapan-ucapan tahniah dan doa yang telah disembahkan kepada beta.
Beta percaya, ingatan dan sokongan rakyat serta pelbagai pihak kepada beta menjadi kekuatan untuk beta terus memayungi negara dengan adil dan saksama.
Rakyat Malaysia yang beta kasihi sekalian.
Beta bersyukur dengan lanskap pandemik COVID-19 yang semakin pulih.
Sektor ekonomi dan kehidupan seharian rakyat beta juga telah menampakkan pemulihan bermula dari pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 yang lalu.
Beta juga berasa amat suka cita melihat rakyat beta dari berbilang bangsa dan agama menyambut kedatangan 1 Syawal dengan suasana yang penuh kemeriahan dan kegembiraan.
Sewajarnya kita semua melafazkan rasa syukur kerana telah berupaya kembali menikmati kehidupan seharian yang sebelum ini terjejas akibat pandemik.
Hakikatnya, ianya bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah untuk mengemudi negara keluar dari kesan pandemik COVID-19.
Pada hemat beta, pengurusan negara dalam era pasca pandemik memerlukan suatu rencana yang bitara mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.
Bagi menempuh gelora masa hadapan; kerajaan beta dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, hendaklah berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan.
Pada masa yang sama, rakyat beta turut berperanan dalam mendokong usaha-usaha murni kerajaan disamping terus berusaha untuk mendepani sebarang cabaran.
Natijahnya, pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat beta.
Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang; adalah sebenarnya merupakan resepi dan kekuatan dalam membentuk aspirasi nasional.
Ianya adalah merupakan tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan.
Pemulihan dan kebangkitan negara yang diimpikan tidak mungkin akan menjadi realiti jika kita berpecah-belah dan gagal untuk mewujudkan lanskap kehidupan yang stabil.
Justeru, bersempena dengan sambutan rasmi ulang tahun keputeraan beta pada tahun ini, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam sebuah kesepaduan yang erat ke arah membentuk Malaysia yang gemilang.
Rakyat Malaysia yang beta sanjungi sekalian.
Pada kesempatan ini, beta ingin mengajak pemimpin negara dan anggota perkhidmatan awam untuk terus berkhidmat setulus hati dalam menentukan sosio ekonomi rakyat beta terus dilindungi dan dibantu demi kelangsungan hidup mereka.
Beta turut ingin berpesan kepada rakyat yang beta kasihi untuk berterusan menyokong usaha-usaha dan dasar kerajaan agar program yang digubal dapat dinikmati oleh semua.
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu berganding bahu dan menggalas tanggungjawab masing-masing, ibarat kata pepatah “ke bukit sama didaki; ke lurah sama dituruni.
Beta dan Raja Permaisuri Agong akan terus mendoakan agar semua usaha-usaha ini diberi keberkatan oleh Allah subhanahu wata’ala dan dipermudahkan dalam mencapai hasrat yang diidamkan.
Mengakhiri titah, beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan beta, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Beta dan Raja Permaisuri Agong turut merakamkan ucapan tahniah di atas pencapaian atlet-atlet negara dalam temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, baru-baru ini.
Marilah sama-sama kita berdoa semoga rakyat Malaysia dan negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman dan makmur serta sentiasa berada di bawah perlindungan Allah subhanahu wata’ala serta dijauhi daripada musibah dan bala bencana.
Sekian.
وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.