Telur itik meningkat ketika Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER LIMAU 20 April. – Seorang penternak itik telur, Zulkifli Mat Dali, 53, dari Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, dekat sini, tersenyum lebar apabila penjualan telur itiknya meningkat berbanding hari biasa.

Sejak awal Ramadan dia perlu menyediakan antara 40 hingga 60 biji telur sehari, meningkat sekali ganda berbanding hari biasa.

ZULKIFLI… telur itik dijual RM0.50 sebiji.

“Alhamdulillah, sejak hari pertama puasa hinggalah hari kelapan hari ini, telur itik mendapat permintaan baik daripada masyarakat sekitar Lubok Cina.

“Ia kerana pelanggan mahu menikmati kelainan pada bulan Ramadan berbanding selalu makan telur ayam pada hari biasa.

“Telur itik ini saya jual RM0.50 sen sebiji dan permintaan diterima daripada peniaga makanan bazar Ramadan dan warung sekitar pekan Lubok Cina,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina.

Zulkifli yang lebih dikenali ‘Pak Hitam’ kalangan komuniti Lubok Cina, di sini, berkata berikutan peningkatan permintaan, beliau terpaksa mendapatkan bantuan beberapa jiran untuk mengutip telur pada waktu pagi serta dibersihkan untuk jualan.

Katanya, telur berkenaan dihasilkan oleh kira-kira 200 itik telur yang dipelihara di belakang rumahnya.

“Saya juga memelihara 150 itik pedaging, iaitu 80 itik jenis mascovi dan 70 itik nila sejak tiga tahun lalu serta membuat telur asin.

“Telur asin ini saya jual RM10 sebalang kepada peniaga warung dan restoran sekitar pekan Lubok Cina dan Masjid Tanah,” katanya.

Katanya, untuk membuat telur asin berkualiti tinggi, telur itik harus direndam dalam air yang ditabur garam secukupnya selama 14 hari dan ia harus segera dipasarkan bagi mengelak kerugian.

“Menjelang Aidilfitri saya menyediakan 150 itik pedaging untuk penggemar itik dan jika ada yang ingin menikmati itik telur, saya sedia memenuhi permintaan itu,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2285
Kongsi :
Previous post Jabatan Meteorologi keluar nasihat taufan Surigae
Next post Atlet kebangsaan tidak boleh beralih angin sewenang-wenangnya- KOM
Ubah saiz-+=