Terima deposit pelaburan tidak wujud, lelaki berdepan denda RM150 juta

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 14 Julai- Seorang lelaki berdepan hukuman denda sehingga RM150 juta selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima wang deposit pelaburan tidak wujud, lima tahun lalu.

Tertuduh, Iskandar Isahak, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang deposit pelaburan daripada tiga individu berjumlah keseluruhan RM125,000.

Kesemua wang itu dimasukkan ke dalam akaun CIMB atas nama syarikat I Usahawan Global Berhad milik tertuduh tanpa suatu lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh yang juga bapa tiga anak, di Jalan Hang Tuah dekat sini, antara 10 Mei 2016 sehingga 27 Jun 2016.

Jika disabitkan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM70,000 diberikan bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Peguam Zulhelmi Wagiman bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan ditanggung anak sulung.

Maziah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan, selain tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan tarikh 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Lee Kim Keat atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki dengan tawaran program pembelian motosikal berkuasa tinggi tidak wujud hingga menyebabkan mangsa menyerahkan cek bernilai RM32,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan Durian Daun dekat sini, pada 25 Oktober 2016.

Bagi kesalahan itu, Iskandar didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM1,500 dan menetapkan 14 September depan bagi sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1231
Kongsi :
Previous post Arnab ‘terapi’ PKP
Next post Tiga pelajar, dua penganggur didakwa berhimpun tanpa memakai pelitup muka
Ubah saiz-+=