‘Terima kasih kerana henti import lembu Thailand’

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

TABOH NANING 27 Jun – Tindakan kerajaan menghentikan import lembu Thailand bagi mengelak penularan penyakit kulit kental berbonjol (LSD) dijangka meningkatkan permintaan lembu tempatan.

Sehubungan itu penternak lembu dan kerbau amat berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) menarik balik larangan rentas daerah bagi menggalakkan permintaan haiwan korban seperti lembu, kerbau dan kambing.

Penternak lembu dan kerbau, Noorsham Mat Jan, 50, berkata penternak di negeri ini mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerana mengambil langkah berkenaan.

NOORSHAM memberi makan lembu di kandangnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah.

Bagaimanapun, larangan rentas daerah menyebabkan pelanggan dari daerah lain tidak mampu hadir di ladang penternakan untuk memilih haiwan korban, katanya.

“Kami amat memahami rentas negeri tidak dibenarkan bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19 tetapi benarkanlah rentas daerah kerana ia amat penting bagi membolehkan pelanggan dari daerah lain membuat tempahan haiwan korban.

“Kalau setakat mengharapkan pelanggan di daerah Masjid Tanah, tidak banyak lembu atau kerbau yang mampu dijual tetapi jika ada pelanggan dari daerah lain seperti Melaka Tengah dan Jasin dibenarkan, insya-Allah permintaan lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Rantau Panjang, dekat sini hari ini.

Dia berkata, menjelang Aidiladha bulan depan, dia hanya menerima tempahan tidak lebih 10 ekor lembu dan kerbau berbanding berpuluh ekor pada Aidiladha tahun lalu.

Sehubungan itu, dia meminta kerajaan mempertimbangkan keperluan menarik semula larangan merentas daerah yang dikuatkuasakan sepanjang sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang.

ABDUL Rahim memandikan kerbau di kandangnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah.
– Foto DIN AHMAD

Sementara itu, Abdul Rahim Sharif, 48, berkata, tindakan kerajaan menghentikan import lembu Thailand dijangka melonjakkan permintaan lembu tempatan tetapi ia harus dipastikan berlaku melalui penarikan balik larangan merentas daerah.

“Alhamdulillah, apabila lembu Thailand dilarang diimport ke negara kita, insya-Allah permintaan lembu dan kerbau tempatan melonjak tetapi ia hanya akan menyebabkan peningkatan kecil.

“Jika larangan merentas daerah ditarik balik, saya yakin permintaan akan melonjak lebih tinggi,” katanya.

Dia berkata, setakat ini belum ada lembu atau kerbau tempatan dijangkiti penyakit LSD dan ia harus dipastikan kekal dengan kaedah memperketat kawalan di sempadan negara.

Semalam Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, dilaporkan berkata, kerajaan terpaksa menghentikan import lembu Thailand yang pada kebiasaannya dilakukan bagi memenuhi permintaan menjelang sambutan Aidiladha.

Ini kerana kebanyakan lembu di negara berkenaan disahkan dijangkiti penyakit LSD yang mungkin memudaratkan jika dibawa masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak menjejaskan bekalan lembu di negara ini dan umat Islam yang melakukan badah korban tidak perlu bimbang kerana bekalan masih mencukupi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1191
Kongsi :
Previous post Peniaga kecil perlu berdaftar dengan PBT – Shadan
Next post PKP 3.0 disambung-PM
Ubah saiz-+=