Terkejut ada selekoh tajam…

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LINGGI 23 Jun – Selekoh tajam di laluan Kampung Nelayan Kuala Linggi-Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Linggi, di sini amat berbahaya berikutan ketiadaan papan tanda amaran dan garisan kuning atau ‘speed breaker.’

Paling dibimbangi penduduk kampung itu ialah kenderaan berat seperti lori atau trak terbabas dan merempuh Pondok Polis Kuala Linggi yang hanya beberapa meter dari selekoh berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Nelayan Kuala Linggi, Mohd Musa berkata, penduduk amat bimbang lori terbabas dan melanggar pondok polis berkenaan kerana sebelum ini pernah berlaku kereta dan motosikal terbabas.

“Walaupun setakat ini belum ada kemalangan maut di selekoh itu, langkah perlu diambil untuk mengelakkan ia berlaku,” katanya.

Beliau mendakwa, sebelum ini sudah beberapa kali berlaku pemandu kereta dan penunggang motosikal gagal mengesan kewujudan selekoh tajam di laluan kampung itu ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Linggi yang mengakibatkan mereka terbabas.

Katanya, kebanyakan pengguna jalan raya kurang mampu mengesan kewujudan selekoh berkenaan kerana kerana kekurangan papan tanda dan ketiadaan garisan kuning atau ‘speed breaker’ dari kedua-dua arah.

Beliau mendakwa, kebanyakan pengunjung destinasi pelancongan Fort Supai berhampiran selekoh berkenaan adalah pengunjung dari luar Melaka dan tidak memahami keadaan jalan di kampung itu.

“Pernah sebelum ini pemandu dari luar Melaka mengadu kepada saya dia terkejut apabila mendapati ada selekoh tajam di laluan berkenaan tetapi dia sempat menekan brek,” katanya ketika meninjau keadaan di selekoh berkenaan, di sini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Rosli Abdullah, Jurutera Daerah Alor Gajah Ir Mohd Haidir Haron dan Penghulu Kuala Linggi, Aszahari Razali.

Sementara itu, Rosli berkata, beliau bimbang laluan berkenaan meragut nyawa pengguna jalan raya berikutan kekurangan papan tanda amaran dan ketiadaan garisan kuning.

“Saya meminta JKR mengambil langkah segera membina papan tanda amaran kewujudan selekoh tajam dan membuat ‘speed breaker’ bagi mengelakkan kemalangan jalan raya,” katanya.

Mohd Haidir berkata, JKR Daerah Alor Gajah akan cuba mendapatkan peruntukan daripada Ibu Pejabat JKR Melaka bagi membina papan tanda amaran di kedua-dua arah jalan berkenaan, selain membuat garisan kuning sebagai panduan kepada pengguna jalan raya supaya memperlahan kenderaan masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3235
Kongsi :
Previous post Melaka terima RM8 juta naik taraf infrastruktur di lokasi ‘hotspot’ banjir – KM
Next post MAFI pantau bekalan ayam di peringkat ladang
Ubah saiz-+=