Ternak kambing, niaga roti demi kelangsungan operasi tahfiz

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MELAKA 17 Sept. – Bagi memastikan operasi madrasah tahfiz bertahan dalam suasana pandemik COVID-19 ini, beberapa institusi berkenaan mengambil inisiatif mencari sumber pendapatan sendiri demi menampung kos pengoperasian.

Timbalan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Melaka (Pinta Melaka), Amirul Fadzly Jamil berkata, misalnya Maahad Tahfiz Al-Muhtadin dekat Sungai Udang mengusahakan ternakan kambing dalam kawasan madrasah dan menjual hasil ternakan bagi mendapatkan sumber kewangan untuk menampung operasi.

Menurutnya, ada juga madrasah lain turut mengusahakan khidmat katering dan perniagaan roti bertujuan menampung kos operasi madrasah selain bergantung kepada yuran serta sumbangan orang ramai.

“Namun, bilangan madrasah yang mengambil inisiatif tersebut amat sedikit, boleh dikatakan kurang daripada lima madrasah sahaja berbanding bilangan keseluruhan madsarah yang berjumlah lebih 70 buah yang beroperasi ketika ini di Melaka.

“Selebihnya mereka bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan daripada orang ramai bagi digunakan menampung kos operasi madrasah,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Menurut beliau, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) juga, beberapa madrasah tahfiz swasta di negeri ini terpaksa menutup operasi mereka ekoran kemelut kewangan.

Katanya, setakat bulan lalu, sebanyak tiga madsarah tahfiz dalam daerah Alor Gajah manakala dua di Melaka Tengah telah ditutup disebabkan gagal menampung kos operasi.

Menurut Amirul Fadzly, sebahagian besar sumber kewangan madrasah bergantung kepada 70 peratus yuran pelajar manakala 20 hingga 30 peratus adalah hasil infak orang ramai.

“Kita khuatir akan lebih banyak madsarah yang akan ditutup sekiranya masalah pandemik ini belum dapat ditangani sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap madrasah tahfiz dapat dibenarkan operasi semula pada masa terdekat ini dan membenarkan pelajar menyambung pengajian di madrasah demi memastikan institusi berkenaan mampu ‘bernafas’ semula seperti biasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

780
Kongsi :
Previous post Kereta Kuda Pantai Klebang kembali ‘bernafas’
Next post KPDNHEP Melaka keluar 13 notis kepada peniaga naikkan harga ayam
Ubah saiz-+=