KPDNHEP Melaka keluar 13 notis kepada peniaga naikkan harga ayam

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MELAKA 17 Sept. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan 13 Notis Pengesahan Maklumat Barangan atau Perkhidmatan kepada 13 peniaga ayam di negeri ini, kerana menaikkan harga jualan bahan mentah itu dalam tempoh 11 September lalu hingga semalam.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, susulan tindakan yang dilakukan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu, rata-rata peniaga terbabit telah menurunkan harga ayam kepada RM 9.50 sekilogram atau lebih rendah.

“Penurunan harga berkenaan dipengaruhi oleh harga yang ditawarkan oleh penternak kepada pemborong, seterusnya pemborong kepada peruncit hasil Op Rantai 7.0 (makanan dan ternakan ayam) sejak 8 September lalu.

“Pemeriksaan ke atas kenaikan harga makanan ternakan ayam dilakukan di peringat pengeluar, pengilang dan juga pengimport di Melaka, bagi mengenal pasti punca kenaikan harga ayam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

NORENA…. Foto – fail.

Sebelum ini media melaporkan berlaku kenaikan harga jualan ayam segar di pasaran di seluruh negara termasuk di Melaka, ekoran kenaikan kos pengeluaran ayam di peringkat peladang, sekali gus mempengaruhi garisan rantaian seterusnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPDNHEP Melaka telah memeriksa sebanyak 24,279 premis perniagaan meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang, dalam tempoh 1 Januari hingga semalam.

Katanya dalam tempoh itu juga, sebanyak 224 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM85,353.95 melibatkan pelbagai kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan kementerian itu.

“Kami juga menerima sebanyak 540 aduan rasmi yang kebanyakannya berkaitan perihal harga, selain mengeluarkan kompaun berjumlah RM211,750.

“KPDNHEP Melaka mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini, kerana kami sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku,” katanya.

Beliau berkata pengguna juga diharap menjadi mata dan telinga KPDNHEP dengan melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.

Katanya, sebarang pertanyaan lanjut dan aduan boleh dilakukan dengan menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869, yang beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 6 petang selain menerusi aplikasi Whatsapp (019-279 4317).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post Ternak kambing, niaga roti demi kelangsungan operasi tahfiz
Next post Aplikasi mudah alih nasional akan diwujudkan- SKMM
Ubah saiz-+=