Terokai pasaran antarabangsa untuk pati herba tempatan

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat
RONALD Kiandee meneliti proses mendapatkan pati daripada daun pokok ‘lemon myrtle’ di MARDI Kuala Linggi.

KUALA LINGGI 6 Julai – Usahawan tempatan tidak harus memperlekeh pati herba yang dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Linggi.

Sebaliknya, mereka harus memanfaatkannya untuk menghasilkan pelbagai produk, selain memasarkan pati itu sendiri ke pasaran antarabangsa kerana ia tidak dihasilkan di negara lain.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usahawan tempatan, terutama mereka yang sudah bertapak lama dalam penghasilkan pelbagai produk, harus mencuba menerokai pasaran antarabangsa sama ada untuk memasarkan produk daripada pati berkenaan atau pati itu sendiri.

“Hanya ada satu MARDI di negara ini yang menghasilkan pati daripada herba dan ia berpotensi besar untuk dipasarkan ke luar negara,” katanya pada Ahad selepas  melawat pemprosesan pati herba di MARDI Kuala Linggi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamed Roff Mohd Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

MARDI Kuala Linggi seluas 12 hektar memiliki kawasan penanaman pelbagai jenis herba seperti serai wangi, serai biasa, kayu gelam, resam, paku, nilam, kayu manis,limau kasturi, limau purut dan ‘lemon myrtle’ serta ‘T tree’ dari Australia.

Contohnya, pati serai wangi boleh diproses menjadi bahan penting untuk menghasilkan minyak wangi, sabun, krim pelembut, pengawal serangga, minyak urut dan seumpamanya.

Sehubungan itu, Ronald mahu lebih ramai usahawan tempatan menyertai skim inkubati MARDI yang membimbing usahawan yang mendalami aspek penyelidikan dan penghasilan produk dengan menyediakan kursus secara berkala dengan kadar bayaran munasabah.

Terdahulu, Ronald menghabiskan kira-kira sejam melawat Institut Teknologi Unggas (ITU) di Masjid Tanah bagi meninjau operasi institut itu melaksanakan penyelidikan mengenai ayam kampung, ayam daging dan burung puyuh serta melatih belia yang berminat menjadi usahawan dalam perniagaan itu.

Mengenai ITU, Ronald meminta belia memanfaatkan peluang disediakan di institut berkenaan untuk mendalami industri penternakan ayam kampung, ayam daging dan burun puyuh kerana ia mempunyai prospek amat cerah.

Katanya, beliau berbangga dengan kejayaan ITU melahirkan 169 usahawan dalam industri penternakan berkenaan sejak ia ditubuhkan pada 2007 bagi mengambil alih fungsi Institut Kemajuan Ternakan Ayam (IKTA) di Johor Baharu dan Pusat Latihan Ternakan Ayam (PLTA) di Ayer Keroh, Melaka.

Views:

664
Kongsi :
Previous post Tiga rumah, 10 kenderaan musnah dalam kebakaran di Kota Tinggi
Next post Kekalkan penyu khazanah laut negara
Ubah saiz-+=