Tiada golongan kayangan akan terlepas hukuman

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR 23 Mei – Kerajaan tidak mengamalkan dwistandard dalam penguatkuasaan terhadap mana-mana individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak kira siapa, waima menteri sekalipun akan berdepan hukuman sekiranya didapati terbukti melanggar SOP yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, rakyat perlu faham bahawa setiap hukuman yang dikenakan itu berbeza-beza mengikut undang-undang dan kesalahan yang dilakukan.

TAN Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya tahu ada rungutan dan persepsi dalam kalangan rakyat mengenai dua darjat, golongan kayangan dan bermacam-macam lagi istilah. Tetapi dasar kerajaan ialah kita tidak mengamalkan ‘double standard’.

“Kerajaan tidak kira siapa. Menteri ke Perdana Menteri, siapa yang melanggar (SOP) dan memang nyata ada bukti-bukti ikut undang-undang maka mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan hukuman, kompaun, charge (pendakwaan) dan sebagainya

“Itu faktanya, cuma yang berbeza ialah hukuman dan jumlah kompaun yang dikenakan bergantung kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 Eksklusif Bersama YAB Perdana Menteri yang disiarkan RTM dan Bernama TV malam ini.

Program selama sejam itu dihoskan pengacara Terrence Dass dan Wan Syahrina Wan Ab Rahman.

Perdana Menteri berkata, pada zahirnya mungkin ada yang melihat wujud layanan berbeza dan beliau tidak menafikannya ada perbezaan layanan berdasarkan persepsi.

“Cuma realitinya tidak harus ada perbezaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengakui wujud kesukaran untuk memantau aspek pematuhan SOP membabitkan keseluruhan kira-kira 30 juta rakyat di negara ini.

Justeru, beliau merayu rakyat mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan dalam membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19 dalam negara.

“SOP ini untuk 30 juta rakyat seluruh negara. Tapi bolehkah saya jaga 30 juta? Dan takkanlah 100,000 penguat kuasa boleh jaga semua 30 juta rakyat itu?

“Sebab itulah ‘self lockdown’ itu amat penting jika kita tidak mahu melakukan kesalahan dan dikenakan hukuman. Kerajaan buat (SOP) kerana ingin menjaga nyawa dan keselamatan rakyat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post Tiada halangan untuk beli sendiri vaksin COVID-19 yang diluluskan NPRA
Next post Ekonomi Malaysia bertambah baik ekoran langkah pemulihan kerajaan- Muhyiddin
Ubah saiz-+=