Sorting by

×

Tiada lagi caj potong ayam

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

PENGKALAN BATU 1 Julai – Majoriti peniaga tidak lagi mengenakan caj memotong ayam seperti dikenakan kepada pembeli sebelum ini selepas kerajaan menetapkan penyelarasan harga ayam RM9.40 satu kilogram (kg) bermula 1 Julai.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Pasar Besar Bachang mendapati rata-rata hampir 20 gerai menjual ayam di pasar itu tidak lagi mengenakan cak berkenaan sekali gus, melegakan orang ramai.

Peniaga, Hamzah Osman, 57 berkata, pihaknya turut berpuas hati dengan penyelarasan harga yang ditetapkan biarpun terdapat khabar angin yang menyatakan harga ayam meningkat sehingga belasan Ringgit sebelum ini.

“Saya sebagai wakil peruncit berterima kasih kepada kerajaan, dengan harga sekarang ini iaitu RM9.40 tidak membebankanlah, kita peruncit pun senang hati, pengguna juga tidak berasa terbeban.

“Jadi daripada segi bekalan juga Alhamdulillah mencukupi, mungkin tidak akan ada masalah sampai Aidiladha nanti dan diharapkan berterusan sehingga 31 Ogos. Mengenai caj pemotongan ayam juga dimansuhkan hari ini kerana sebelum ini memang ada dikenakan selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Hari ini pihak kerajaan sudah dapat persetujuan dan penternak pun terima, kita peruncit juga Alhamdulillah, kira ‘okaylah’. Fleksibal dengan harga sekarang,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu seorang lagi peniaga, Ghazali Abu Bakar, 48, berpuas hati dengan bekalan yang diterima malah saiznya juga dianggap lebih besar dan memuaskan berbanding sebelum ini.

Menurutnya, anggaran setiap peniaga akan menerima 300 hingga 500 ekor ayam setiap hari dan angka itu dijamin tidak akan mengganggu agihan bekalan ayam di negeri ini.

“Malah, hari ini apabila ada penyelarasan harga caj perkhidmatan bagi pemotongan ayam pun tidak ada dikenakan berbanding sebelum ini, hingga ramai pengguna yang merungut dan akhirnya kita puas menjawab kerana kami sebagai peniaga juga yang kena.

“Dia (pelanggan) kata macam ini (harga) baru ok. Kalau ada caj, itu yang mereka marah. Selama ini beli ayam mana ada caj. Dia tengok naik harga, RM9.40 tak ada caj, okay lah. Diorang suka lah,” katanya.

MELAKA 01 JULAI 2022. Peniaga, Jamel Jani, 59, menunjukkan saiz ayam dengan harga baharu RM9.40 sekilogram selepas pelaksanaan harga siling baharu bagi ayam, telur dan pengapungan harga minyak masak botol pada hari ini ketika tinjauan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang, Melaka.Foto: MR. AZLI

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka diketuai Pengarahnya, Norena Jaafar melakukan tinjauan di pasar itu bermula jam 9.30 pagi tadi mendapatkan maklum balas daripada peniaga dan pengguna.

Norena berkata, bekalan telur dan minyak masak turut dipantau dan hasil berpuas hati dengan hasil sesi ‘walkabout’ dijalanka.

Menyentuh isu caj pemotongan ayam, beliau memberi jaminan ia tidak akan berlaku selepas ini selepas pelaksanaan penyelarasan harga ayam seluruh negara bermula hari ini.

“Bukan kita tak benarkan caj pemotongan itu, cuma kita faham dengan keadaan sekarang. Mereka (peniaga) nak pulihkan balik kekonomi jadi mereka terpaksa mengenakan caj pemotongan ayam tersebut sebelum ini.

“Bagi kami, KPDNHEP tidak ada masalah untuk perkara ini kerana ianya bukan jadi kesalahan untuk mengecaj pemotongan ayam, namun ia terpulang kepada pengguna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post Pembiayaan insurans kenderaan untuk penjawat awam dilancar
Next post Ansal Ternak bakal wujudkan ladang berkonsep ‘mini zoo’
Ubah saiz-+=