Tiada penularan COVID-19 di Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH, 20 Okt. – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menafikan terdapat penularan COVID-19, di Hospital Melaka (HM).

Terdahulu, tular pesanan di aplikasi WhatsApp mengenai terdapat penularan COVID-19 sehingga ada wad yang ditutup serta 11 kakitangan hospital yang positif wabak itu.

Pengarah JKNM Datuk Ismail Ali berkata, HM adalah hospital rujukan bagi COVID-19 seluruh Melaka dan pada waktu ini terdapat 30 pesakit wabak itu yang sedang menerima rawatan.

Beliau berkata, berhubung penutupan Wad 1-1 di HM adalah tidak berlaku sebaliknya hospital telah mengambil langkah mengawal pergerakan di semua wad bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan wabak COVID-19.

“Kenyataan mengenai terdapat 11 kakitangan HM yang dijangkiti COVID-19 juga adalah tidak benar sebaliknya lapan anggota perubatan didapati positif dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Manakala kontak rapat kepada mereka sudah disaring dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah bukannya di hospital,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurut beliau, perkhidmatan HM juga tidak terjejas dan diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih.

“Boleh juga menyalurkan sebarang pertanyaan berhubung situasi COVID-19 di Melaka melalui Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) JKNM di talian 06-2345999 atau e-mail ke [email protected],” katanya.

Views:

2452
Kongsi :
Previous post Warga emas maut terkena renjatan
Next post MAIM salur RM2.3 juta untuk bantuan kit makanan COVID-19
Ubah saiz-+=