MAIM salur RM2.3 juta untuk bantuan kit makanan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Okt. – Keseluruhan sebanyak RM2.3 juta telah diperuntukkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi membantu mereka yang terjejas susulan penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud berkata, bantuan yang diberikan adalah berbentuk sumbangan kit makanan yang disalurkan kepada semua 28 Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) di seluruh Melaka.

“Bantuan kit makanan ini bukan kita berikan kepada asnaf sahaja, tetapi sesiapa sahaja yang terkesan. Kita agihkan di setiap JAPERUN di negeri ini.

“Di mana JAPERUN yang lebih memerlukan kita akan beri dalam kuantiti yang lebih. Ini memang menjadi antara tanggungjawab kerajaan negeri untuk membantu golongan-golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui di Majlis Pembuangan Abu Al-Quran di perairan Melaka, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Md Rawi berkata, walaupun penularan pandemik COVID-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda bakal berakhir, pihak MAIM akan terus komited untuk menyalurkan bantuan bulanan kepada kira-kira 9,000 asnaf yang layak di negeri ini.

Jelasnya, antara bantuan yang masih disalurkan termasuklah seperti bantuan bulanan sara hidup, bantuan makanan bulanan, bantuan sewa rumah dan bantuan pelajaran.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui pandemik yang memasuki gelombang ketiga di negara ini bakal memberi impak terhadap pendapatan zakat Negeri Melaka yang menjadi sumber kewangan utama untuk MAIM menyalurkan sumbangan kepada asnaf.

“Memang terkesanlah dari segi kutipan. Terutama zakat perniagaan kerana ramai yang terjejas dalam tempoh beberapa bulan ini. Apa pun, kita akan perkasakan program kewajipan membayar zakat kepada semua agensi tidak kiralah kerajaan atau swasta bagi membolehkan kita terus menyalur bantuan kepada asnaf di negeri ini,” katanya lagi.

Views:

282
Kongsi :
Previous post Tiada penularan COVID-19 di Hospital Melaka
Next post Melaka kekurangan ‘relau’ untuk pelupusan Al-Quran
Ubah saiz-+=