Melaka kekurangan ‘relau’ untuk pelupusan Al-Quran

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Okt. – Melaka berdepan kesukaran untuk melupuskan sisa-sisa atau keratan Al-Quran lama yang telah rosak ekoran daripada kekurangan relau, sebuah alat khas yang digunakan untuk melupuskan Al-Quran menjadi abu.

Perkara itu disuarakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Md Rawi Mahmud yang berkata setakat ini hanya terdapat satu relau sahaja yang terdapat di Masjid Al-Ghaffar, Jasin.

Beliau berkata, sebuah relau itu hanya dapat menampung pelupusan 7,000 naskhah sahaja sehari yang mana ia dikhuatiri tidak mencukupi untuk masa-masa akan datang.

“Sebab itulah, sehingga kini pihak MAIM dan Jabatan Agama Islam (JAIM) tidak berani untuk menghebahkan mengenai pelupusan Al-Quran kepada orang ramai kerana kita tiada kemampuan.

“Relau yang ada sekarang kecil dan ia mengambil masa kira-kira lapan jam untuk melupuskan A-Quran yang telah rosak itu. Jadi kita bimbang kemampuan yang ada ini tidak cukup untuk proses tersebut pada skala yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pembuangan Abu Al-Quran ke Laut di perairan negeri ini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat.

Mengulas lanjut, Md Rawi berkata, pihaknya bagaimanapun kini dalam perancangan untuk menambah relau di setiap daerah atau menaik taraf relau sedia ada kepada yang lebih besar bagi tujuan pelupusan Al-Quran.

Bagaimanapun, katanya perkara itu masih di peringkat cadangan yang mana pihaknya juga akan meneliti kaedah-kaedah lain yang lebih efektif untuk melupuskan Al-Quran di masa akan datang.

“Sekiranya ada pihak yang berniat untuk menginfaq atau mewakafkan relau kepada negeri ini bolehlah menghubungi pihak JAIM atau MAIM pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Views:

3271
Kongsi :
Previous post MAIM salur RM2.3 juta untuk bantuan kit makanan COVID-19
Next post Penunggang motosikal bergelang pink disiasat
Ubah saiz-+=