Tiada perbincangan kerusi UMNO dan BERSATU – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Mac – Tiada sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam mesyuarat khas UMNO Melaka malam tadi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebaliknya berkata, mesyuarat tadi hanya membincangkan persediaan biasa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ditanya adakah UMNO akan meletakkan calon di kerusi ditandingi calon BERSATU, Ab Rauf berkata perkara itu tidak dibincangkan.

“Itu kita tak buat keputusan, kita belum pilihan raya…kita tak tahu. Kita harap yang terbaik selepas ini.

“Tidak kisahlah bila pun (PRU-15), tahun ini… tahun depan…tahun 2023, kita bersedia untuk menghadapi gelombang pilihan raya yang bakal mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO Negeri Melaka Bil 1/2021 di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal di sini malam tadi.

Hadir sama adalah Timbalannya Datuk Seri Mohd Ali Mohamad dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga  Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata, secara keseluruhannya UMNO Melaka sudah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Keyakinan itu katanya selepas melihat persiapan dilakukan jentera parti itu setakat ini

“UMNO juga daripada pembentangan yang dibuat oleh ‘war room’ negeri nampak kita bersedia untuk menghadapi PRU.

“Perbincangan antara ketua bahagian hari ini juga berkisar tentang persediaan untuk Perhimpunan Agong UMNO yang bakal diadakan pada hujung bulan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, UMNO Melaka mengikut keputusan parti berkaitan hubungan dengan BERSATU.

“Pasal parti mengatakan tidak ada hubungan dengan parti BERSATU sehingga ke pilihan raya umum makna sekarang hingga ke pilihan raya umum kita menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama negeri Melaka” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post Melakan Visit Melaka 3.0 perkenal 24 destinasi menarik
Next post Perjuangan politik bukan bermusim – Ab Rauf
Ubah saiz-+=