Melakan Visit Melaka 3.0 perkenal 24 destinasi menarik

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ALOR GAJAH 12 Mac. – Kempen promosi Melakan Visit Melaka 3.0 yang dijangka mampu menarik 6.2 juta pelancong tahun ini memperkenalkan 24 lokasi pelancongan menarik berbanding 18 pada promosi kempen sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, menerusi kempen Melakan Visit Melaka 2.0, sebanyak 58,465 pakej telah terjual dengan jumlah pendapatan RM459,948.

Katanya, bagi kempen kali ini kerajaan negeri mengenal pasti lima lokasi tumpuan ramai iaitu muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Pusat Boling Antarabangsa Melaka, Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN.

“Bagi memperhebat sektor pelancongan negeri, kita perkenalkan 24 lokasi pelancongan menarik sempena kempen promosi Melakan Visit Melaka 3.0.

“Berbeza dengan kempen sebelum ini, kita menambah enam lagi lokasi menarik termasuk Firefly Digital Art Museum yang terletak di Freeport A’Famosa Outlet, Alor Gajah dalam kempen promosi kali ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Melakan Visit Melaka 3.0.

Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri, Saari Basiron.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri turut merangka pelbagai inisiatif pelancongan termasuk melaksanakan kempen promosi Melaka melalui slogan Melaka ‘Is The Place To Be & Relax @ Melaka’.

“Menerusi kempen itu, kita akan mengangkat kembali industri pelancongan sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri pasca COVID-19.

“Kempen fasa pertama yang diperkenalkan pada 8 November ini merupakan langkah proaktif kerajaan negeri bersama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) bagi memulihkan pelancongan serta mengalakkan rakyat Melaka bercuti dalam negeri sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1374
Kongsi :
Previous post ‘Polis’ diberkas polis selepas melakukan samun
Next post Tiada perbincangan kerusi UMNO dan BERSATU – Ab Rauf
Ubah saiz-+=