‘Polis’ diberkas polis selepas melakukan samun

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 12 Mac – Tidak cukup melakukan kesalahan menyamar sebagai pegawai polis, seorang lelaki turut melakukan samun di sebuah premis perunding perkahwinan di Taman Seri Duyong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 34 tahun bagaimanapun berjaya diberkas di rumahnya di Padang Jambu, di sini awal pagi tadi.

“Suspek lelaki itu berjaya ditahan pukul 1.30 pagi tadi susulan laporan dibuat seorang pengadu yang bekerja sebagai perunding majlis perkahwinan mengenai kejadian samun di tempat kerjanya kira-kira jam 2.15 petang Khamis.

“Laporan polis dibuat pengadu berusia 18 tahun jam 8.15 malam semalam mendakwa suspek datang ke pejabatnya di Taman Seri Duyong sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, suspek kemudian meminta kad pengenalan pengadu, namun remaja terbabit enggan memberikannya selepas lelaki itu gagal menunjukkan kad kuasa polis apabila diminta.

Mengulas lanjut Afzanizar berkata, suspek kemudian telah mengambil kunci pejabat dan meminta kunci motosikal pengadu dengan alasan gagal membayar ansuran bulanan.

“Suspek yang terus menyamar sebagai pegawai polis turut mendakwa kononnya pengadu dikesan melakukan kesalahan membabitkan dadah sebelum tiba-tiba merampas sebuah komputer riba yang berada di situ dan melarikan diri.

“Menyedari dia dikejar pengadu, suspek kemudian telah mencampakkan komputer riba tersebut di jalan,” katanya sambil menambah suspek turut dikesan mempunyai rekod lampau membabitkan satu kes judi dan lima kesalahan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

933
Kongsi :
Previous post Caj warisan pengunjung kekal RM2
Next post Melakan Visit Melaka 3.0 perkenal 24 destinasi menarik
Ubah saiz-+=