Caj warisan pengunjung kekal RM2

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TABOH NANING 12 Mac. – Kerajaan negeri memberi jaminan tiada kenaikan cukai warisan sebanyak RM2 dikenakan kepada pelancong tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, caj warisan itu kekal berikutan kerajaan negeri mahu mencapai sasaran 6.2 juta kehadiran pelancong menjelang hujung tahun ini.

Katanya, beliau turut menafikan khabar angin daripada segelintir pihak yang mendakwa caj warisan itu naik kepada RM5 bagi setiap pengunjung yang bermalam di negeri ini.

MUHAMMAD JAILANI…caj warisan kekal berikutan kerajaan negeri mahu mencapai sasaran 6.2 juta kehadiran pelancong menjelang hujung tahun ini.

“Bagi mencapai sasaran itu, semua pemain industri dalam sektor pelancongan menjalankan pelbagai promosi termasuk diskaun sehingga 50 peratus.

“Kita akan berikan sebanyak mungkin potongan harga, malah tidak akan naikkan mana-mana harga.

“Meskipun ada khabar angin mengatakan caj warisan dinaikkan dari RM2 kepada RM5, namun itu semua tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sempena Majlis Pelancaran Kempen Promosi ‘Melakan Visit Melaka 3.0’.

Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri, Saari Basiron.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri turut memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan syarat rentas negeri dengan membenarkan pengunjung menggunakan kenderaan persendirian terutama bagi mereka yang berkeluarga.

“Kalau boleh syarat ini jangan diperketatkan sebaliknya membenarkan pengunjung menggunakan apa jua kenderaan untuk merentas negeri kerana saya rasa kekangan ini boleh dilonggarkan lagi asalkan syarat SOP (prosedur operasi standard) yang dikenakan diperketatkan.

“Permohonan itu akan dibawa Ketua Menteri yang akan hadir dalam mesyuarat MKN,” katanya.

Menerusi pengumuman dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lalu, kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi pelancongan domestik bermula 10 Mac lalu yang hanya membabitkan negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.

Bagaimanapun pengunjung perlu menggunakan kenderaan pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dan tidak dibenarkan menggunakan kenderaan persendirian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1134
Kongsi :
Previous post Tipu pelaburan ‘Like Share’, pengarah syarikat dipenjara setahun
Next post ‘Polis’ diberkas polis selepas melakukan samun
Ubah saiz-+=