Tiada rakaman video Najib di premis penjara – Jabatan Penjara

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Jabatan Penjara hari ini menegaskan bahawa tiada sebarang rakaman video melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dibuat oleh mana-mana agensi media di premis penjara.

Kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penjara hari ini itu adalah susulan kemunculan Najib di saluran televisyen yang tular di media sosial.

Jabatan Penjara berkata hasil semakan mendapati video berkenaan telah dirakam lebih awal oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena episod ke-57 Kembara Keluarga Malaysia iaitu sebelum Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, dipenjarakan.

“Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Okt 2022 menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik,” menurut Jabatan Penjara.

Najib kini menjalani hukuman penjara setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dokumentari Kembara Keluarga Malaysia episod 57 yang berdurasi kira-kira 24 minit itu memaparkan pengacaranya Jasper Supayah ke Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium Masjid Sultan Abdullah dan Kafe Belibis di Pekan. Najib tampil dalam dokumentari itu memperincikan keunikan dan keistimewaan Pekan.

Jabatan Penjara meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tanpa semakan lanjut dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2140
Kongsi :
Previous post Agong, Raja Permaisuri tiba di Singapura
Next post Banjir: Hampir 70,000 sedia dikerah hadapi banjir – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=