
TIADA ZON BEBAS KENDERAAN, PENDAPATAN PENIAGA BOLEH TERJEJAS
BANDA HILIR 10 Oktober – Peniaga sekitar Bangunan Stadthuys mahu pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan diteruskan seperti biasa kerana membantu meningkatkan jumlah kehadiran pelanggan, sekali gus merancakkan perniagaan, khususnya pada hujung minggu.
Ramai dalam kalangan peniaga berpendapat pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana dan keindahan lokasi tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir dalam suasana santai serta lebih selamat.

Bagi peniaga, Rohzairee Zainal, 34, jumlah pengunjung ke gerainya menunjukkan peningkatan amat ketara setiap kali tempoh pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan jika dibandingkan hari biasa.
“Apabila jalan ditutup ramai yang memilih untuk berjalan sambil meneroka lokasi menarik, suasana yang tenang juga mendorong pengunjung untuk singgah menjamu selera.
“Inisiatif Zon Bebas Kenderaan adalah antara sebab saya pilih untuk berniaga di sini, potensi untuk menjana pendapatan lebih besar hasil daripada peningkatan jumlah pelancongan,” katanya.
Menurut Pengusaha Kafe Tujoh itu, pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan wajar dikekalkan kerana selepas tiga tahun pelaksanaan pelancong sudah terbiasa dengan jadual penutupan jalan.
“Pastinya pelancong sudah mengetahui dan faham dan apabila tiba-tiba dihentikan mungkin menimbulkan kekeliruan kerana pasti ada antara mereka sudah merancang untuk ke Melaka lebih awal,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Chay Mei Ling, berkata, inisiatif penutupan jalan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu memberi manfaat kepada peniaga berikutan jumlah pelanggan yang lebih ramai pada Jumaat, Sabtu dan Ahad berbanding hari biasa.
“Ketika mula berniaga di sini, Ogos lalu kami tidak tahu jalan akan ditutup pada hujung minggu tetapi selepas melihat jumlah pelanggan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad lebih ramai, kami gembira kerana ia amat membantu perniagaan.
“Kalau boleh, kami mahu Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan setiap hari tetapi kami faham perkara itu mungkin sukar untuk itu harapan kami supaya pelaksanaan sedia ada dikekalkan.
“Menariknya penutupan jalan ini memberi kebebasan kepada pengunjung dan pelancong kerana mereka dapat berjalan dengan selamat,” katanya yang juga pengusaha bersama restoran makanan Arab Red Shawarma.
Menurutnya, sekiranya berlaku pembukaan semula jalan kepada kenderaan pada hujung minggu ia berpotensi menjejaskan perniagaan sekali gus memberi kesan kepada pendapatan.
“Saya boleh katakan sekiranya jalan di buka pada hujung minggu pendapatan perniagaan boleh terjejas sehingga 40 peratus untuk itu amat berharap pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan ini terus dikekalkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

