MELAKA TERUS PERKASA PELANCONGAN SUKAN, LUAR BANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

RIM 10 Oktober – Pengalaman bercuti sambil menikmati keunikan alam di kawasan desa menjadi kekuatan bagi Melaka untuk menggamit lebih ramai pelawat dan pelancong ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengalaman itu ditawarkan menerusi penganjuran sukan lasak berbasikal.

Katanya, menjadi matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadikan sukan sebagai satu lagi kekuatan dalam melonjakkan industri pelancongan khusus di luar bandar.

“Kita tidak mahu pelancong hanya tertumpu di kawasan-kawasan ikonik seperti Banda Hilir atau Jonker Walk, sebaliknya turut meneroka keunikan Jasin, Alor Gajah dan Kampung kampung tradisional yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan melalui ekopelancongan, pelancongan desa serta aktiviti sukan dan rekreasi.

“Paling penting, setiap kemajuan dalam sektor pelancongan mesti membawa pulangan kepada masyarakat setempat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Melaka International Mountain Bike Jamboree 2026 di Taman Ekstrem Tasik Chin Chin, Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri mahu pengusaha inap desa menerima tempahan, peniaga kecil mendapat pelanggan, produk tempatan semakin dikenali dan ekonomi penduduk turut berkembang.

“Saya berharap kejayaan jamboree ini tidak terhenti di garisan penamat semata-mata, sebaliknya terus diperkasakan sebagai antara acara utama dalam kalendar pelancongan sukan negeri, sekali gus membawa nama Jasin dan keistimewaan pelancongan luar bandar Melaka lebih jauh ke pentas antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1126
Kongsi :
Previous post MELAKA INTERNATIONAL MOUNTAIN BIKE JAMBOREE TARIK 1,000 PENYERTAAN TERMASUK WAKIL 10 NEGARA LUAR
Next post TIADA ZON BEBAS KENDERAAN, PENDAPATAN PERNIAGA BOLEH TERJEJAS