Tidak putus doa suami dan rakan ditemui selamat

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 19 Jan. – “Saya tidak putus berdoa agar Allah menyelamatkan suami dan rakannya yang hilang di laut dan jauh di lubuk hati saya, saya berharap mereka selamat,” kata Rosdiana Mongkin, 41.

Isteri nelayan, Irwan Radjab, 47, itu berkata, meskipun sukar menerima hakikat kehilangan suami di laut sejak Rabu lalu, jauh di sudut hatinya tetap berdoa supaya suami dan rakannya, Ahmad Norizan Mohamad, 37, ditemui selamat.

Ibu kepada tiga anak berusia 13 hingga 20 tahun itu berkata, setiap kali igauan buruk bermain di fikirannya, dia segera beristighfar dan membaca surah al-Fatihah.

“Isteri mana tidak bimbang apabila suami hilang di laut. Bermacam perkara bermain dalam fikiran saya, termasuk yang buruk tetapi saya pujuk hati supaya sabar dan tenang menghadapi ujian Allah,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Telok Gong, di sini hari ini.

Rosdiana sekeluarga menerima kunjungan Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Norihan Bahari yang bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan.

Yang turut hadir, Pegawai Kebajikan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi, Mohd Azhar Jasin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung
(JPKK) Telok Gong, Azman Abu Kassim.

Rosdiana yang berasal dari Apas, Tawau Sabah berkata, dia dan suaminya yang juga berasal dari Sabah berhijrah ke Semenanjung pada 2000 dan bekerja di pelbagai sektor.

Katanya, setiap kali turun ke laut bersama Ahmad Norizan di Jeti Nelayan Padang Temu, suaminya jarang pulang ke rumah dan menumpang di bengkel rakannya itu di Kandang, dekat Padang Temu.

“Suami saya selalu menyirat (menjahit) jaring di bengkel itu, kadang kala sampai empat atau lima hari tidak pulang.

“Dia keluar rumah 6 Januari lalu, jam 1.30 petang untuk ke laut dan kali terakhir menghubungi saya pada jam 11 malam, 12 Januari lalu sebelum dilaporkan hilang keesokkan hari ini,” katanya.

Katanya, dalam perbualan itu Irwan sempat memberitahu akan pulang satu atau dua hari lagi selepas menarik jaring pari.

Views:

449
Kongsi :
Previous post MAIM sedia 10,000 kit Musa’adah, bantu rakyat terjejas COVID-19
Next post Halimah Sadique positif COVID-19
Ubah saiz-+=