Tiga beradik maut terkena renjatan elektrik di Tumpat – Polis Kelantan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KOTA BHARU, 19 Dis – Tiga beradik perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang mengalami banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mangsa Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 11.30 pagi.

“Ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang berjalan kaki mengharungi banjir melalui hadapan sebuah rumah tersebut.

“Tiba-tiba seorang mangsa dipercayai tergelincir lalu memegang tiang rumah tersebut dan terkena renjatan elektrik. Adik-beradik lain cuba membantu namun turut terkena renjatan elektrik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata mayat ketiga-tiga mangsa itu telah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

“Pihak Tenaga Nasional Berhad juga telah dimaklumkan untuk tindakan memutuskan bekalan elektrik di tempat kejadian dan tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Zainun Sulaiman, 62, ketika ditemui pemberita dirumahnya berkata dia sangat terkejut dan tidak sangka ketiga-tiga anak perempuannya yang masih belum berumah tangga itu terbaring dalam air selepas terkena renjatan elektrik.

“Urusan pengebumian akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak sebaik proses bedah siasat selesai di Hospital Tumpat,” katanya.

Saksi kejadian yang juga jirannya Che Zahiyah Che Yaakob, 53, pula berkata dia sempat menegur tiga beradik itu yang melintasi rumahnya sebelum dijawab arwah Nor Syazwani yang menyatakan ingin pergi ke tali air di hadapan rumahnya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2339
Kongsi :
Previous post Terharu pertama kali terima sumbangan sempena Krismas
Next post KPKT gesa PBT proaktif selenggara perparitan kurangkan risiko banjir kilat
Ubah saiz-+=