
TIGA JAM KELUARKAN MAYAT TERSEPIT DALAM MESIN PEMBANCUH PASIR
AYER KEROH 8 Mei – Pasukan bomba mengambil masa kira-kira tiga jam bagi mengeluarkan mayat pekerja pembinaan warga Myanmar yang tersepit dalam mesin pembancuh pasir, dalam kejadian di Pulau Gadong, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kira-kira jam 11.50 pagi pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian dan susulan itu sepasukan pegawai bersama anggota ke lokasi kejadian yang juga tapak projek pembinaan kondominium.
Katanya, mangsa berusia 24 tahun dipercayai telah termasuk ke dalam mesin pembancuh pasir ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Ketika ditemui badan dan kepala mangsa berada dalam mesin pembancuh pasir berkenaan, sementara itu kaki pula di bahagian luar.
“Berikutan itu bomba terpaksa memotong bahagian luar mesin berkenaan sebelum mengeluarkan mangsa yang tersepit, operasi menyelamat itu mengambil masa kira-kira tiga jam,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap mayat mangsa setakat ini tidak menemukan sebarang kesan berlakunya pergelutan atau kecederaan mencurigakan boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
“Berdasarkan keterangan saksi, ketika kejadian mangsa sedang membersihkan mesin pembancuh pasir berkenaan yang ketika itu dalam keadaan dihidupkan, tidak lama kemudian saksi mendakwa mendengar jeritannya,” katanya.
Jelasnya, pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.