Sorting by

×

FASA PERTAMA KOMPLEKS WARISAN JAWA MELAKA SIAP HUJUNG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER MOLEK 20 April – Fasa pertama pembinaan Kompleks Warisan Jawa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek telah diluluskan Kerajaan Negeri dan dijangka siap penghujung tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan bagi permulaan dan projek itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh enam bulan bermula bulan ini.

Katanya, kompleks tersebut bakal menempatkan elemen budaya, warisan termasuk rumah tradisional masyarakat Jawa, persembahan seni dan muzium.

“Alhamdulillah, fasa pertama telah diluluskan iaitu pembinaan rumah adat Jawa dengan peruntukan RM300,000.

“Kita sasarkan ia siap dalam tempoh enam bulan tahun ini sebelum diperluaskan kepada pembangunan kompleks yang lebih besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Ayer Molek di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dalam, di sini, pada Sabtu.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dengan barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, selepas siap kompleks terbabit, ia bakal menjadi produk pelancongan baharu negeri ini.

“Hasrat kita supaya kompleks ini nanti menjadi satu ‘landmark’ baharu serta tarikan pelancongan yang mengetengahkan identiti komuniti Jawa di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

385
Kongsi :
Previous post WIFI PERCUMA RAPATKAN JURANG DIGITAL ORANG ASLI ASAHAN
Next post OPERASI PEMBENIHAN AWAN SIRI 2 BANTU TANGANI KEKURANGAN AIR MELAKA