Timbalan Speaker Dewan Rakyat akan dipilih pada sesi persidangan kali ini

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

LENDU 18 Sept – Pemilihan dua lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, termasuk seorang yang kemungkinan besar daripada pembangkang akan cuba diselesaikan pada sesi persidangan kali ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pemilihan itu penting diselesaikan pada sesi kali ini kerana persidangan menuntut komitmen penuh Speaker dewan berkenaan.

Beliau menjelaskan, kemungkinan calon daripada pembangkang akan dinamakan Pakatan Harapan (PH) untuk jawatan itu, sejajar konsep kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan PH melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September lalu.

“Ada kekosongan Timbalan Speaker tetapi ada cadangan supaya menambah seorang lagi timbalan daripada dua kepada tiga dan kalau boleh dibuat sesi ini.

“Kemungkinan besar yang ketiga itu daripada pembangkang kerana semangat MoU antara kerajaan dengan pembangkang,” katanya selepas menyampaikan anugerah wang tunai dan caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah, di sini hari ini.

Seramai 150 bekas calon SPM dan 26 bekas calon STPM 2020 dalam Parlimen Masjid Tanah yang mencapai kejayaan cemerlang menerima wang tunai antara RM200 hingga RM800, selain caruman SSPN bernilai RM200 setiap seorang.

Mas Ermieyati berkata, pada sesi persidangan Dewan Rakyat petang Rabu lalu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, menjalankan tugas Speaker atas permintaan Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon, dilaporkan berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3), Speaker Dewan Rakyat boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu untuk sementara dengan tidak perlu diberitahu kepada Majlis Mesyuarat pada bila-bila masa mesyuarat bersidang.

Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan berkata, kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang mungkin daripada pembangkang.

Mohd Rashid dilaporkan berkata, nama calon daripada blok pembangkang dan kerajaan sudah diterima dan jika ada lebih daripada seorang calon, undi belah bahagian akan dijalankan.

Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post Lebih 70,000 pelajar sekolah divaksin Isnin ini tertakluk kelulusan KKM dan MOSTI
Next post PM ucap tahniah kepada Komander Suzanna
Ubah saiz-+=