Tindakan kompaun bukan pilih kasih, darjat – Ketua Polis Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 2 Nov – Polis Melaka menegaskan tindakan kompaun ke atas individu atau penganjur program politik berdasarkan peruntukan undang-undang Akta 342.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya tidak pernah menjalankan tugas dua darjat dan pilih kasih serta siasatan yang berpilih seperti yang didakwa oleh pihak tertentu di platform media sosial sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, setiap tindakan yang diambil berdasarkan peraturan dan protokol siasatan terperinci malah pihaknya akan terlebih dahulu mengunakan budi bicara dengan menasihati individu atau penganjur sebelum kompaun dikeluarkan.

“Tindakan kita berdasarkan penilaian yang dibuat di lapangan (tempat kejadian), kita akan kumpul bukti dan baharulah tindakan kompauan diambil.

“Ingin saya tegaskan bahawa polis Melaka tidak pernah menjalankan tugas dua darjat ataupun pilih kasih serta siasatan yang ‘berpilih-pilih’ dalam melaksanakan tugas,” kataya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang.

Sidang media tersebut diadakan susulan dakwaan individu di media sosial mempertikaikan tindakan polis mengeluarkan kompauan terhadap penganjur ceramah politik di Taman Krubong Jaya pada Selalu lalu.

ABDUL MAJID menunjukkan gambar -gambar aktiviti pelanggaran SOP di IPK Bukit Beruang. Foto: Norizan

Menjelaskan perkara itu, kata Abdul Majid, penganjur ceramah politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didapati secara terangan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila mengumpulkan penonton seramai 30 hingga 40 orang selain tidak memakai penutup muka dan tiada penjarakan sosial.

“Dakwaan mereka tiada penonton dan tiada pelanggaran SOP tidak benar kerana apabila polis tiba di tempat kejadian, kita dapatkan bukti melalui gambar serta rakaman dan berdasaran bukti ini barulah kita ambil tindakan.

“Namun sebelum itu, kita telah beri nasihat kepada penganjur agar tidak meneruskan program ceramah itu kerana dikhuatiri jika diteruskan akan menyebabkan pengumpulan orang ramai dan penjarakan sosial tidak dapat dilakukan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang tidak berpuas hati atau sangsi dengan tindakan polis agar tampil untuk berbincang dan mendapatkan keterangan terperinci mengenainya serta mengemukakan rayuan kompaun kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tolong datang berbincang dengan kita dan jangan mengelirukan rakyat melalui media sosial, cetak atau elektronik..kita akan jelaskan apa tindakan yang kita ambil.

“Individu atau penganjur ini, tolong dapatkan penjelasan daripada kita dan jangan jadikan media sosial ini sebagai tempat kita berdebat kerana ia akan mengusarkan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, kata Abdul Majid, sejak 25 Oktober lalu, pihaknya telah mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM18,000 kepada individu berusia antara 30 hingga 40 tahun dan penganjur program berkaitan politik serta enam kertas siasatan berkaitan kesalahan pelanggaran SOP dan berita palsu.

PKR dikompauan RM10,000 manakala RM4,000 masing-masing dikenakan kepada individu berkaitan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan UMNO.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

809
Kongsi :
Previous post Sistem pintar pendekkan masa perjalanan ke Bandaraya Melaka
Next post Anggota PGA, dua rakan dituduh seludup lima migrain Thailand
Ubah saiz-+=