Anggota PGA, dua rakan dituduh seludup lima migrain Thailand

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PASIR MAS 2 Nov – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal bersama dua rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini  atas pertuduhan menyeludup masuk lima migran warga Thailand.

Muhd Nor Hafifi Md Khanapiah, 33, bersama Mohd Azhar Mohamad, 28, dan Muhammad Rahmat Muhammad, 33, yang bekerja sendiri hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes itu merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) yang  akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi

Muhd Nor Hafifi, Mohd Azhar dan Muhammad Rahmat didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di sekatan jalan raya (SJR) Ladang Pepuyu, Tanah Merah, pada 10 malam 6 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan merupakan kesalahan di bawah SOSMA yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, dan boleh juga didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memaklumkan bahawa kes itu akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan dan memohon supaya ketiga-tiga tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Peguam Shaharuddin Mohamed mewakili Muhammad Rahmat  manakala Muhd Nor Hafifi dan Mohd Azhar tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan 9 Dis untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

520
Kongsi :
Previous post Tindakan kompaun bukan pilih kasih, darjat – Ketua Polis Melaka
Next post Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun sebabkan kematian Zulfarhan Osman
Ubah saiz-+=