Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun sebabkan kematian Zulfarhan Osman

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KUALA LUMPUR 2 Nov – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Azman dalam keputusannya mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi telah dilepaskan dari pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Azman dalam penghakimannya berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh bukan sahaja untuk memberi rasa takut dan perit kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat.

“Sekiranya hukuman yang dijatuhkan hanya dengan diikat jamin kelakuan baik (seperti yang dimohon peguam tertuduh) ia tidak memberi kesan kepada masyarakat. Zulfarhan Osman kawan tertuduh tetapi kita perlu fikir ibu bapa dan keluarga mangsa (Zulfarhan Osman).

“Melihat kepada jasad si mati (Zulfarhan Osman) saya tidak boleh bayangkan seterika wap kena memang sakit, kalau (menekap) bahagian sensitif tak tahu si pelaku nak dikategorikan sebagai apa, seperti penjenayah yang tiada belas kasihan,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa sedih terhadap tertuduh yang sepatutnya menjadi pegawai tentera, tetapi disebabkan kejadian itu mereka tidak dapat meneruskan pengajian di universiti berkenaan.

Azman berkata kejadian itu bukan hanya berlaku di universiti berkenaan tetapi ia juga terdedah kepada orang lain dan menasihati mereka yang menghadapi situasi seperti itu supaya menanganinya dengan baik. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1046
Kongsi :
Previous post Anggota PGA, dua rakan dituduh seludup lima migrain Thailand
Next post Bantuan kewangan mangsa banjir perlu dinaikkan – KM
Ubah saiz-+=