Tingkat kawalan keselamatan di sekolah, bendung kes culik – Kalsom

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Semua sekolah di Melaka diminta meningkatkan kawalan keselamatan paling ketat ekoran kebimbangan ibu bapa terhadap penularan kes penculikan membabitkan murid dan pelajar sekolah.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan perkara tersebut dilaksanakan bagi membendung kes itu berlaku di negeri ini.

Katanya, beliau akan turun padang ke setiap sekolah untuk memastikan tahap keselamatan murid dan pelajar diberi perhatian.

“Pihak sekolah memainkan peranan penting sebab itu kawalan ketat daripada sekolah itu diperlukan, jadi di pihak Kerajaan Negeri, saya sendiri akan berjumpa dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk sama-sama membantu sekolah.

“Ibu bapa dan pihak sekolah tidak harus memandang ringan aspek keselamatan melibatkan pelajar meskipun tiada kes penculikan dilaporkan berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata, semua pihak juga diminta bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan pengawasan terutama ketika tamat sesi persekolahan.

“Saya juga minta kerjasama daripada pihak polis untuk kerap membuat rondaan di taman-taman permainan kanak-kanak kerana bimbang kawasan tersebut menjadi tumpuan penjenayah kes culik sekiranya tiada pengawasan sewajarnya dilakukan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2271
Kongsi :
Previous post MPAG tingkat perkhidmatan buat warga Alor Gajah
Next post Kadar wanita jalani saringan kanser payudara masih rendah di Melaka – Exco
Ubah saiz-+=