MPAG tingkat perkhidmatan buat warga Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) komited untuk meningkatkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat seiring dengan agenda membangunkan Alor Gajah sebagai sebuah pusat pembangunan lestari dan berdaya huni.

Yang Dipertuanya, Tpr. Saifuddin Abdul Karim berkata, bagi mencapai hasrat itu pihaknya akan memperkasa kerjasama bersama jabatan dan agensi terlibat di negeri ini bagi memastikan mutu perkhidmatan pentadbirannya mampu ditingkatkan.

Katanya, seiring selepas dinobatkan sebagai Anugerah Bandar Berdaya Huni Tinggi 2021 pada Ogos lalu, pihaknya akan melihat pelbagai aspek bagi memastikan pembangunan dan pelbagai lagi skop tanggungjawab MPAG akan ditambah baik.

“Pembangunan lestari ini perlu dilihat dari pelbagai aspek meliputi fizikal dan bukan fizikal yang mana semestinya kita memerlukan kerjasama daripada semua jabatan di peringkat daerah, negeri dan persekutuan.

“Kita akan meneruskan agenda negeri dan pembangunan lestari berdaya huni ini kerana ia adalah satu matlamat yang kita tuju, jadi semua aspek perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat semestinya perlu lebih baik.

“Ini termasuk skop dalaman dan kerjasama daripada jabatan luar adalah penting untuk mencapai hasrat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Jamuan Makan Malam Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2022 di sebuah hotel, di sini, malam tadi yang disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan dan tetamu lain.

Untuk rekod, Saifuddin yang sebelum ini merupakan bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) dilantik sebagai Yang Dipertua MPAG berkuat kuasa pada 5 September lalu.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa, Renewable Energy: Technology and Sustainability, University of Reading, United Kingdom sebelum ini bertugas di Bahagian Khidmat Pengurusan JKMM dari April 2021 hingga 2 September lalu.

Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, selain pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 2016.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1410
Kongsi :
Previous post Tragedi persimpangan lampu isyarat, dua penunggang maut
Next post Tingkat kawalan keselamatan di sekolah, bendung kes culik – Kalsom
Ubah saiz-+=