TMM2024: Anjur himpunan Vespa Dunia di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

GADEK 6 Ogos – Persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) dipelawa untuk menganjurkan himpunan gergasi membabitkan skuter klasik, Vespa di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, penganjuran himpunan peminat jentera klasik dua roda itu mampu memeriahkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, yakin penganjuran itu nanti bukan sahaja menghimpunkan peminat Vespa seluruh tanah air, malah peserta dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

“Himpunan dicadangkan ini secara tidak langsung akan mempromosi dan memeriahkan lagi TMM2024 dengan Negeri Melaka menjadi lokasi pertemuan peminat jentera klasik.

“Sebagai Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, saya mengalu-alukan pihak berminat untuk menghantar kertas kerja,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Pulas Bike Mix 2023, di Dataran Bandar Satelit Pulau Sebang, di sini, hari ini.

Terdahulu program dianjurkan Samudra Vespa Club, dengan kerjasama Japerun Gadek berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peminat Vespa dan motosikal berkuasa tinggi.

Beliau berkata, program julung kali diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek umpama mengimbau zaman kegemilangan motosikal Vespa sekitar tahun 70-an.

Menurutnya, bagi peminat motosikal, jentera milik masing-masing diumpamakan sebagai permata berharga.

“Kalau diikutkan harga motosikal ini pada tahun 70-an sekitar RM1,500 sahaja, tetapi sekarang ada yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

“Pada program ini kita bawakan antara motosikal paling awal dibawa masuk ke negera ini yang menggunakan nombor pendaftaran ‘K’. Namun kerana dijaga dengan baik jentera itu masih berfungsi dengan elok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2365
Kongsi :
Previous post Reman wanita, teman lelaki disyaki terbabit kematian kanak-kanak di Taiping disambung enam hari
Next post Vespa ‘bawa’ Rahim ke Tanah Suci
Ubah saiz-+=