TMM2024: Kompleks mahkamah lama jadi pusat pengumpulan sejarah

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDA HILIR 30 Ogos – Bangunan kompleks mahkamah lama, di sini, akan dibaik pulih untuk dijadikan pusat pengumpulan bahan tinggalan sejarah nyata (tangible) dan tidak nyata (intangible) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kerja baik pulih bangunan terbabit akan dilaksanakan Perbadanan Melaka (MCorp) dan dikelola di bawah Jabatan Warisan Negara.

Katanya, pelaksanaan tender, mesyuarat penyelarasan bersama Jabatan Warisan Negara akan dilakukan untuk memperkemaskan semula bahan sejarah di pusat terbabit.

“Proses baik pulih kompleks mahkamah lama itu dijangka akan bermula pada tahun hadapan dan dijalankan secara berperingkat.

“Jabatan Warisan Negara dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan melaksanakan mesyuarat penyelarasan bagi proses penyimpanan segala maklumat berkaitan warisan sejarah Melaka dalam kawasan yang diiktiraf UNESCO,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan pemantauan ke Bukit Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perzim, Drs Mohd Nasruddin Rahman.

Dalam pada itu, Zaidi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim memaklumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan RM30 juta bagi kerja-kerja penambahbaikan, baik pulih bangunan, fasiliti dan pelbagai lagi untuk TMM2024.

“RM30 juta ini akan dibahagikan kepada empat agensi utama termasuk Perzim, MCorp, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Warisan.

“Dana tersebut akan digunakan untuk baik pulih, penyelenggaraan bangunan tinggalan sejarah, promosi TMM2024, pencahayaan di sekitar kawasan pelancongan negeri ini termasuk laluan pejalan kaki demi keselesaan pengunjung pada tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1179
Kongsi :
Previous post 36 banduan bebas sehari sebelum merdeka
Next post Peluang baiki diri, elak kembali ke tirai besi
Ubah saiz-+=